Kementerian percepat rundingan ke arah sistem tol terbuka

Alexander (kanan) ketika mengangkat nozel Pengecas Berkelajuan Tinggi TNB Electron di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya PLUS Ayer Keroh, Melaka pada Khamis.
Alexander (kanan) ketika mengangkat nozel Pengecas Berkelajuan Tinggi TNB Electron di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya PLUS Ayer Keroh, Melaka pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Kerja Raya akan mempercepatkan rundingan termasuk dengan Kementerian Kewangan bagi mewujudkan sistem bayaran tol terbuka di semua lebuh raya tidak lama lagi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sistem yang akan diperkenalkan itu bagi membolehkan pengguna lebuh raya tidak hanya bergantung kepada sistem sedia ada.

Menurutnya, mereka boleh menggunakan pelbagai kaedah yang akan ditawarkan dengan lebih mudah dan cepat sekali gus akan dapat mengurangkan kesesakan kenderaan terutama di plaza-plaza tol.

Katanya, langkah yang membabitkan syarikat konsesi dan pemain industri itu sebagai pelan jangka pendek sebelum pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa henti di lebuh raya (MLFF) yang akan dilaksanakan menjelang 2025.

"Kita akan menguji kaji sistem ini, akan ada projek perintis untuk kita pastikan mana yang terbaik.

"Bila telah berpuas hati, baharu sistem bayaran tol terbuka ini akan dimulakan tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Pengecas Berkelajuan Tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Electron di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya PLUS Ayer Keroh di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah PLUS Malaysia Berhad, Datuk Mohd Izani Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Indera Baharin Din.

Ditanya mengenai sistem kutipan tol tanpa henti di lebuh raya (MLFF), beliau berkata, pelan perancangan sistem itu dijangka akan direalisasikan pada tahun 2025, namun percaya ia akan dilaksanakan lebih awal.

"Sekarang kita menjurus kepada (MLFF) yang perlu dirancang sebaik-baiknya.

"Kita ada garis masa akan dilaksanakan 2025 namun jangka akan buat lebih awal dari tahun tersebut," katanya.