Banteras kes 'jerung', tindakan efisien

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membanteras kes besar berbanding kes ‘ikan bilis’, dianggap tindakan yang efisien bagi menangani ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh individu berkepentingan.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, usaha itu secara tak langsung memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak menyalahgunakan kuasa untuk merompak harta negara.

“Bagus, bagi konsentrasi (fokus) kepada kes-kes besar seperti Indonesia. Tetapi (kerajaan khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) takkan lupa kes kecil, cuma keutamaan itu kena lebih kepada kes besar kerana menyebabkan (pembaziran) kewangan banyak.

“Dari segi kewangan ini bermakna (boleh) menjejaskan (ekonomi) semua negara, jadi mungkin kes-kes kecil ini boleh cari kaedah lain. Jadi, ia satu tindakan yang baik.

“Justeru, saya menyokong sebab ia boleh memberi peluang kepada SPRM untuk lebih fokus terhadap kes-kes besar,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Akhbar, sekiranya kes ‘jerung’, lebih-lebih lagi melibatkan orang ‘besar’ dan ‘berkuasa’ bukan sahaja wang dapat diselamatkan bahkan nama baik negara.

“Dengan itu, negara akan memperoleh pendapatan yang lebih, apabila ketirisan dalam penyelewengan wang sedikit sebanyak dapat diatasi.

“Malah reputasi dan tadbir urus akan menjadi lebih baik,” ujar beliau.