Maritim tahan 512 bot nelayan asing bernilai RM675 juta

Khairulanuar (tiga dari kanan) memberi penerangan kepada pelajar sekolah yang mengunjungi pameran sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia ke-18 di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini pada Rabu.

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menahan sebanyak 512 bot nelayan asing dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM675 juta melalui Op Kuda Laut dan Op Naga.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata, operasi dijalankan di negeri Pantai Timur melibatkan Terengganu, Pahang dan Kelantan itu turut menahan seramai 4,998 nelayan asing.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 333 bot melibatkan 3,226 nelayan asing telah ditahan melalui Ops Naga yang dijalankan sepanjang tahun lalu di tiga negeri tersebut dengan nilai rampasan sebanyak RM499 juta.

“Bagi Op Kuda Laut pula, sebanyak 179 kes membabitkan 1,772 nelayan asing dengan nilai rampasan berjumlah RM176 juta direkodkan setakat ini sejak operasi itu dimulakan pada 24 Jun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengunjungi pameran sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia ke-18 di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini pada Rabu.

Khairulanuar (kiri) memberi cenderahati kepada murid yang mengambil bahagian dalam aktiviti dijalankan sempena pameran sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia ke-18 di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini pada Rabu.

Program sambutan melibatkan tayangan visual, dokumentasi, dan pameran peralatan serta aset yang diadakan bermula 8 Februari hingga Rabu itu telah berjaya menarik kehadiran hampir 5,000 pengunjung.

Sementara itu Khairulanuar berkata, pihaknya akan memperhebatkan rondaan dan operasi di sekitar perairan negara susulan jangkaan peningkatan pencerobohan nelayan asing selepas berakhirnya musim monsun timur laut.

Selain itu katanya, musim sotong yang dijangka bermula sekitar April hingga Julai juga dilihat bakal menarik kehadiran lebih ramai nelayan asing ke perairan Terengganu bagi mendapatkan sumber tersebut.

“Keadaan air laut sudah tidak bergelora sekarang dan jumlah sotong yang banyak serta bernilai tinggi dalam pasaran akan menarik nelayan asing menceroboh perairan negara.

“Maritim sedar perkara ini dan kita sudah ada perancangan bagi melindungi perairan negara dari sebarang unsur jenayah dan pencerobohan di lautan terutama melibatkan nelayan asing yang aktif mencuri kekayaan laut di negeri ini,” katanya.