Keputusan denda RM10,000 tak jejas kedudukan saya - Sivanesan

Sivanesan (tengah) ketika hadir ke Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Mediklinik Sejahtera di Ipoh pada Selasa.
Sivanesan (tengah) ketika hadir ke Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Mediklinik Sejahtera di Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Keputusan Mahkamah Persekutuan mengenakan semula denda RM10,000 kepada Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan tidak menjejaskan kedudukannya sebagai wakil rakyat.

Sivanesan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai berkata, keputusan tersebut tidak tertakluk kepada Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kehilangan kelayakan wakil rakyat.

Menurutnya, keputusan yang dikenakan itu melibatkan kes sivil dan bukan sabitan kes jenayah untuk hilang kelayakan sebagai ADUN.

"Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan mengatakan jika seorang Ahli Parlimen didapati bersalah melakukan perbuatan jenayah dan dihukum penjara selama dua tahun atau didenda lebih daripada RM2,000 akan kehilangan kelayakan beliau jadi wakil rakyat.

"Kes ini merupakan keputusan jawatankuasa lembaga tatatertib peguam bela dan peguam cara, bukan mahkamah, jadi tak berkaitan. Pelajar undang-undang semester pertama pun tahu. Jadi kalau untuk orang-orang sana yang seronok saya akan kehilangan kelayakan, itu hanya seronok sementara sebab saya tak tipu sesiapa, mana tuduhan jenayah yang dikenakan kepada saya?" katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Mediklinik Sejahtera di sini pada Selasa.

Sivanesan berkata, kes berkenaan hanya membabitkan Majlis Peguam dan sebarang tindakan hanya boleh diambil oleh badan tersebut.

Jelas beliau, ia tidak langsung menjejaskan tugas sebagai ADUN Sungkai dan Exco Kerajaan Perak sebaliknya bakal memberi kesan kepada seramai 22,000 peguam di atas keputusan Majlis Peguam tersebut.

"Kalau saya tak bayar denda itu pun tak ada apa yang Majlis Peguam boleh buat dengan saya kerana apa yang mereka boleh buat hanyalah halang saya teruskan amalan guaman.

"Tetapi saya adalah exco kerajaan negeri, saya boleh buat keputusan berhenti sepenuhnya dari profesion guaman. Jadi ia tak beri kesan langsung kepada saya," katanya.

Media pada Isnin melaporkan Mahkamah Persekutuan mengenakan semula denda RM10,000 yang dikenakan oleh lembaga tatatertib peguam bela dan peguam cara terhadap Sivanesan kerana salah laku profesional, 13 tahun lepas.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal yang membuat keputusan itu setelah membenarkan rayuan oleh Majlis Peguam Malaysia dan K. Pathmanathan.

Majlis Peguam Malaysia dan Pathmanathan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Disember tahun lepas, yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan lembaga tatatertib itu.