RM4 juta bagi misi bantuan ke Turkiye

Pasukan MAS-10 di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terdiri daripada Pasukan SMART, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bersama pasukan bantuan tempatan melakukan operasi mencari dan menyelamat akibat gempa di Nurdagi. - Foto Bernama
Pasukan MAS-10 di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terdiri daripada Pasukan SMART, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bersama pasukan bantuan tempatan melakukan operasi mencari dan menyelamat akibat gempa di Nurdagi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM4 juta melalui peruntukan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bagi misi bantuan ke Turkiye.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia digunakan bagi penghantaran dua pasukan penyelamatan, iaitu RM2 juta bagi setiap pasukan untuk membiayai operasi mereka di negara berkenaan.

“Bagi memperlihatkan keprihatinan Kerajaan Malaysia dengan keadaan bencana di Turkiye, pasukan pertama telah diatur gerak dalam tempoh kurang dari 12 jam hasil penyelarasan segera antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Luar Negeri (KLN).

“Pasukan pertama tersebut terdiri daripada 70 orang Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) termasuk penyertaan ahli Pasukan MyTeam Relief yang berkepakaran daripada Unit HAZMAT, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pasukan Perubatan, Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berlepas ke Turkiye pada 6 Februari 2023.

“Pasukan kedua dengan kekuatan seramai 70 orang pula terdiri daripada Pasukan SMART, JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah diatur gerak dua hari kemudian iaitu pada 8 Februari. Sehingga kini, kekuatan pasukan SAR Malaysia adalah seramai 140 orang,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang bertanyakan bentuk bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada Turkiye dan barat laut Syria susulan bencana gempa bumi yang melanda kos keseluruhan atur gerak anggota pasukan SMART.

Kejadian bencana gempa bumi yang bermagnitud 7.8 pada skala richter telah melanda kawasan selatan Turkiye dan Syria pada 6 Februari lalu.

Di Turkiye, 10 kawasan terjejas gempa ialah bandar Gaziantep, Adana, Hatay, Kahramanmaras, Malatya, Kilis, Osmaniye, Diyarbakir, Adiyaman dan Sanliurfa manakala di Syria, 4 kawasan terimpak gempa adalah Aleppo, Adlib, Homs dan Hama.

Jelas Anwar, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia yang dikenali dengan kod antarabangsa MAS-01 (MAS-One) dan MAS-10 (MAS-10) kini beroperasi di Gaziantep sebagaimana ditetapkan oleh Pusat Koordinasi Pasukan USAR (UCC) yang beroperasi di Hatay.

“Kejayaan terbesar Pasukan SAR Malaysia adalah pada hari keenam operasi iaitu 11 Februari lalu yang mana pasukan berjaya mengeluarkan lima mangsa yang masih hidup dengan selamat, walaupun terperangkap hampir 200 jam di bawah runtuhan.

“Sehingga 13 Februari, pasukan SAR Malaysia telah berjaya mengeluarkan 50 mangsa dari bawah runtuhan (lima berjaya diselamatkan dan selebihnya 45 mangsa yang lain ditemui telah meninggal dunia),” ujar beliau.

Tambah Anwar, berikutan kebanyakan pusat kesihatan terjejas teruk disebabkan bencana gempa bumi ini, ATM melalui Perkhidmatan Kesihatan ATM dengan kekuatan seramai 110 orang anggota dan kelengkapan Hospital Medan Malaysia Tahap 3 milik ATM telah diatur gerak dan kini beroperasi di bandar Celikhan, wilayah Adiyaman, Turkiye.

Hospital Medan ini berkapasiti 60 buah katil yang dilengkapi dengan kemudahan wad, Bilik Pembedahan, Unit Rawatan Rapi, Radiologi dan makmal.

“Cadangan peruntukan bagi kos perbelanjaan bagi mengatur gerak pasukan ini adalah sebanyak RM4 juta. Ini termasuklah kos aturgerak Hospital Medan Malaysia Tahap 3 tersebut.

“Melalui kemudahan yang disediakan akan membolehkan Hospital Medan ini memberi tumpuan kepada perkhidmatan rawatan kepada mangsa yang terlibat di samping mempunyai kapasiti katil untuk mangsa yang memerlukan rawatan lanjut,” jelasnya.

Sementara itu, bagi bantuan kepada Syria, Sekretariat bagi penyaluran bantuan kemanusiaan ke Syria di bawah kendalian Kementerian Luar Negeri telah beroperasi pada 13 Februari lalu.

Satu perbincangan bersama Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Syria di Kuala Lumpur telah diadakan bagi mendapatkan butiran mengenai situasi sebenar di Syria serta keperluan kritikal yang amat diperlukan ketika ini dan lokasi-lokasi yang terjejas teruk.

“Pasukan Peninjau khas ke Damsyik yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri akan berlepas ke Syria pada 14 Februari bagi mengenal pasti barangan keperluan yang diperlukan dan laluan yang selamat bagi penyaluran sumbangan kepada Syria di samping membina jaringan komunikasi dengan pihak berkuasa di Syria,” jelasnya.

Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/