Menelusuri jalan lama yang berubah dek arus pembangunan

Terowong Menora.
Terowong Menora.
A
A
A

BARU-baru PLUS Expressways Berhad atau Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS) mengumumkan penutupan Terowong Menora mulai 7 hingga 16 Februari ini untuk kerja-kerja pemulihan di terowong berkenaan.

Bagi mengurangkan kesesakan trafik susulan penutupan terowong tersebut, pihak PLUS membuat laluan kontrak di terowong berkenaan.

Bagaimanapun, Merak Jalanan mendapati banyak kenderaan melencong ke arah jalan Persekutuan iaitu jalan lama menghala ke Kuala Lumpur kerana mungkin pemandu tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas.

Menelusuri jalan lama, pastinya banyak kenangan dan nostalgia yang terpahat di minda pemandu-pemandu sebelum wujudnya PLUS.

Bagi Merak Jalanan, banyak pengalaman ketika melalui jalan lama merentas pekan-pekan kecil bermula di Jambatan ‘Iskandar Bridge’ - Pekan Karai - Sungai Siput - Chemor.

Sepanjang perjalanan melalui pekan tersebut, Merak Jalanan lihat banyak perubahan dan kemajuan di pekan-pekan kecil berikutan proses urbanisasi di kawasan berkenaan.

Dahulu, kedai-kedai makan dan kedai runcit mudah didapati di tepi jalan lama tetapi kini premis-premis tersebut telah dirobohkan.

Hanya sedikit yang dikekalkan untuk dipelihara identitinya agar dapat dilihat dan dikenang oleh generasi masa kini.

Selain itu, banyak kebun getah telah lenyap dan diganti dengan kawasan perumahan dan bangunan kedai dua atau tiga tingkat.

Paling teruja apabila dapat melalui jalan raya yang mempunyai lintasan kereta api. Pemandu perlu berhenti seketika apabila pagar di lintasan kereta api ditutup.

Namun, semua itu kini tinggal kenangan atas faktor pembangunan. Merak Jalanan fikir adalah lebih baik jika dapat dikekalkan satu atau dua stesen kereta api lama untuk tatapan anak-anak kita pada masa hadapan.