QRT bantu kurangkan kesesakan di pintu sempadan Johor

Khairul Dzaimee (kanan) meninjau penggunaan kemudahan e-gate di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor pada Ahad. - Foto Bernama
Khairul Dzaimee (kanan) meninjau penggunaan kemudahan e-gate di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penugasan anggota dan pegawai Pasukan Tindak Pantas (QRT) yang diaktifkan sejak 6 Februari lepas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri, telah berjaya membantu mengurangkan kesesakan sempadan negara terutama di waktu puncak.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, buat masa ini seramai 71 anggota dan pegawai QRT ditempatkan di dua pintu masuk berkenaan melibatkan kaunter laluan kereta dan bas terutama pada waktu puncak, yang menerima jumlah kemasukan pengunjung antara dua hingga tiga kali ganda daripada kebiasaan.

Beliau berkata, sebelum adanya QRT, jumlah kereta yang boleh diurus kemasukan dan diselesaikan pengesahan dokumennya dalam masa satu jam ialah 1,400 buah.

"(Bagaimanapun) setelah ditubuhkan QRT, bilangan kereta yang boleh diselesaikan dalam masa satu jam meningkat sebanyak 900 hingga 1,000 buah dengan syarat tiada masalah dari segi urusan Jabatan Pengangkutan Jalan ataupun baki Touch ‘n Go mereka tidak mencukupi.

"Dengan adanya QRT, sebanyak 2,300 kereta boleh diselesaikan dalam masa satu jam berbanding sebelum ini," kata beliau kepada pemberita selepas meninjau laluan kereta dan pengguna bas di CIQ BSI di sini pada Ahad.

Bagi laluan penumpang bas pula, Khairul Dzaimee berkata, sebelum ini, pihaknya terpaksa mengambil masa empat hingga lima jam untuk menyelesaikan proses kemasukan atau keluar melibatkan 3,200 pengunjung yang merupakan jumlah maksimum pada satu-satu masa.

"Setelah QRT ditubuhkan, kami mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk menyelesaikan kesemua 3,200 pengunjung. Mereka hanya perlu menunggu antara 12 hingga 15 minit," kata beliau.

Susulan kejayaan penugasan QRT itu, Jabatan Imigresen kini dalam proses mengaktifkan QRT di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Sungai Tujuh, Sarawak, menjelang hujung bulan ini.

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, inisiatif penggunaan pagar automatik untuk warga Singapura sejak 20 Jan lepas juga dilihat memberi impak yang begitu besar dan menyumbang kepada kelancaran proses kemasukan pengunjung dengan lebih cepat.

"Sejak mereka (warga Singapura) dibenarkan (menggunakan pagar automatik) pada 20 Jan hingga 6 Feb, jumlah yang telah menggunakan ialah seramai 16,000 orang dan jumlah ini masih rendah daripada jumlah yang kita sasarkan iaitu 35,000 iaitu jumlah rakyat Singapura yang setiap hari berulang alik masuk ke Johor.

"Kumpulan ini yang menjadi sasaran Jabatan Imigresen Malaysia untuk menggunakan pagar automatik," kata beliau.

Pada 20 Januari lepas, kerajaan mengumumkan beberapa inisiatif jangka pendek untuk membantu mengurangkan kesesakan di sempadan negara terutamanya di Tambak Johor. - Bernama