Kesejahteraan mental tingkat potensi diri pelajar

Setiap keluarga menginginkan anak-anak cemerlang dalam bidang akademik tetapi ia hanya satu indikator kejayaan seseorang.- Gambar hiasan. (Gambar kecil: Lee Lam Thye)
Setiap keluarga menginginkan anak-anak cemerlang dalam bidang akademik tetapi ia hanya satu indikator kejayaan seseorang.- Gambar hiasan. (Gambar kecil: Lee Lam Thye)
A
A
A

SHAH ALAM - Kesejahteraan mental yang sihat mampu meningkatkan potensi diri dalam kalangan pelajar agar mereka berupaya mengawal emosi dan dapat bersosial dengan baik.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, setiap keluarga menginginkan anak-anak cemerlang dalam bidang akademik tetapi ia hanya satu indikator kejayaan seseorang.

Bagaimanapun menurutnya, perkara yang lebih utama ialah kesejahteraan mental yang sihat agar berupaya melahirkan individu yang seimbang dari segi emosi, sosial, intelek dan jasmani.

“Ibu bapa yang terlalu mementingkan kecemerlangan akademik boleh menyebabkan pelajar tertekan sehingga mereka terlupa untuk melihat potensi lain yang terdapat pada seseorang.

“Contohnya, pelajar cemerlang memerlukan kasih sayang dan perhatian bukan sekadar dari ahli keluarga tetapi juga rakan sebaya serta masyarakat,” katanya pada Ahad.

Lam Thye berkata, ibu bapa yang berjauhan daripada anak-anak secara tidak langsung boleh menyebabkan mereka kehilangan ikatan sesama ahli keluarga.

Jelasnya, harga yang perlu dibayar oleh ibu bapa ialah saat anak-anak kehilangan kasih sayang yang sepatutnya wujud di depan mata mereka.

Justeru, ibu bapa perlu menyusun langkah untuk melihat potensi diri anak-anak mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, para pendidik sewajarnya tidak terlalu menumpukan kejayaan bersifat akademik tetapi secara holistik agar melahirkan kesejahteraan minda pada seorang pelajar.

“Langkah untuk melihat keseimbangan potensi pelajar dan kesejahteraan minda yang sihat boleh diamalkan dengan cara pembabitan ibu bapa dalam melihat potensi lain pada anak-anak.

“Misalnya, anak-anak juga berpotensi dan mempunyai minat kepada muzik atau drama dan tidak hanya menumpukan kepada kecemerlangan akademik. Galakan kepada potensi yang lain boleh melahirkan minda yang sihat.

“Kesejahteraan minda tidak wajar diukur hanya dengan kejayaan akademik tetapi juga merupakan teras kepada pelbagai bidang yang akan diceburi,” ujarnya.