UiTM Holdings: KPT mahu siasatan segera dijalankan

Mohamed Khaled (kanan) beramah mesra dengan peserta selepas merasmikan Pusat Jahitan Komuniti Tasek 64 di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, pada Sabtu.
Mohamed Khaled (kanan) beramah mesra dengan peserta selepas merasmikan Pusat Jahitan Komuniti Tasek 64 di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan mengakibatkan kerugian Universiti Teknologi MARA (UiTM) Holdings Sdn Bhd sebanyak RM157 juta segera dilakukan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini bagi membolehkan KPT dapat mengambil tindakan selanjutnya dalam isu berkenaan.

"Saya memang mengharapkan supaya siasatan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) itu dapat disegerakan, saya sendiri pun tahu apa yang berlaku tunggu, selepas SPRM selesai siasatan.

"KPT akan membuat semakan dan penambahbaikan terhadap garis panduan yang ditetapkan berkenaan pengurusan syarikat pegangan universiti serta mengukur kepatuhan oleh syarikat-syarikat yang berkaitan," katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Jahitan Komuniti Tasek 64 di Bandar Seri Alam, di sini pada Sabtu.

Beliau mengulas laporan mengenai siasatan ke atas syarikat pegangan pelaburan milik penuh UITM oleh SPRM termasuk keperluan penstrukturan semula syarikat berkenaan.

Pada Selasa, laporan UiTM Holdings rugi 157 juta yang disiarkan media mendakwa, jumlah itu adalah berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun iaitu bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021.

Keuntungan sebelum cukai terkumpul yang dilaporkan bagi 2011, 2013, 2014, 2015 dan 2016 adalah sekitar RM26 juta.

UiTM Holdings Sdn Bhd adalah syarikat pegangan pelaburan milik penuh universiti itu yang menguruskan lapan syarikat berkaitan tenaga, penjagaan kesihatan, teknologi, dan kreatif.

Dalam perkembangan lain, beliau mahu kolej komuniti mengambil tahu kegiatan masyarakat di kawasan masing-masing dan selepas mengenal pastinya boleh membantu meningkatkan kemahiran yang mereka ada.

"Kewujudan kolej komuniti ini tidak harus terpisah dengan daripada masyarakat. Kolej komuniti mesti memahami kehidupan dan kegiatan masyarakat sebelum membantu dengan kemahiran dalam usaha mengupayakan mereka dan dalam pembelajaran sepanjang hayat," ujar beliau