Lesen, cukai kenderaan digital: Rakyat beri reaksi berbeza

Pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan di cermin kenderaan kenderaan masing-masing. Gambar hiasan Bernama. (Gambar kecil dari kiri: Mohd Khairul, Nizamuddin, dan Nurhaslina)
Pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan di cermin kenderaan kenderaan masing-masing. Gambar hiasan Bernama. (Gambar kecil dari kiri: Mohd Khairul, Nizamuddin, dan Nurhaslina)
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan Malaysia memaklumkan bahawa orang ramai kini boleh menggunakan mod paparan digital bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM), bermula pada Jumaat.

Transformasi yang dilakukan kerajaan dalam proses mendigitalkan LMM dan LKM merupakan satu langkah yang baik dan setanding dengan arus pembangunan negara pada masa ini.

Seorang pekerja swasta, Nurhaslina Hassan, 25, berkata, kewujudan aplikasi MyJPJ sememangnya memudahkan urusan orang ramai.

“Sebelum ini, orang ramai diwajibkan untuk memiliki kad lesen secara fizikal kerana ia merupakan salah satu identiti yang menyatakan bahawa kita dibenarkan untuk memandu.

“Jadi dengan adanya aplikasi tersebut, saya tidak lagi perlu khuatir tentang isu kad tertinggal mahupun hilang kerana ia sudah tersimpan rapi di dalam sistem berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian

Sementara itu, seorang petugas keselamatan di sebuah syarikat penerbangan, Mohd Khairul Hisyam Jenal, 36, berkata, usaha yang dilakukan oleh kerajaan wajar dipuji kerana perlaksanaan pendigitalan itu seharusnya dilaksanakan lebih awal lagi.

“Memandangkan kita berada di fasa teknologi, jadi segalanya perlu bergerak seiringan. Bagi saya dengan adanya aplikasi MyJPJ ia bukan sahaja memudahkan urusan pihak berkuasa, malahan ia juga mempercepatkan proses pencarian data.

“Mungkin ada di antara orang ramai yang kurang bersetuju dengan langkah yang diperkenalkan itu kerana pada mereka, ia semakin menyukarkan apabila ada pihak ketiga yang mahu meminjam kereta dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Khairul tidak menafikan bahawa perubahan tersebut sedikit sebanyak mendatangkan kerisauan kepada orang ramai lebih-lebih lagi individu yang kurang cakna tentang sistem maklumat dan teknologi (IT).

“Bagi golongan anak muda dan dewasa yang tahu tentang IT, ia bukanlah perkara yang menyulitkan, tetapi tidak bagi warga tua dan mereka yang kurang berkemampuan.

“Bukankah perlaksanaan ini dilihat sebagai satu beban baharu kepada mereka kerana golongan itu terpaksa mengeluarkan wang dan cara mempelajari IT semata-mata mahu menggunakan aplikasi tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang pekerja logistik, Nizamuddin Salehuddin, 25, berkata, tidak semua perkara perlu melalui proses pendigitalan.

“Satu benda yang perlu kita tahu bahawa tidak semua tempat mempunyai capaian internet yang baik khususnya di kawasan pekan dan kampung.

“Jadi apabila adanya gangguan internet, ia secara tidak langsung membuatkan aliran trafik semasa pemeriksaan pihak berkuasa menjadi semakin sesak, gara-gara menunggu orang ramai membuka aplikasi berkenaan,” ujarnya.