Sindiket penipuan: Kerajaan pertimbang perketat undang-undang

Anwar menjawab soalan ketika sidang media hari ini, selepas mengadakan lawatan ke Thailand selama dua hari bermula semalam. - Foto Bernama
Anwar menjawab soalan ketika sidang media hari ini, selepas mengadakan lawatan ke Thailand selama dua hari bermula semalam. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperketat undang-undang bagi mengelak rakyat Malaysia daripada diperdaya sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

Beliau berkata, orang ramai menjadi mangsa penipuan tawaran kerja berikutan sindiket ini berselindung di luar negara termasuk di Myanmar.

"Kita telah mengambil pendirian yang agak tegas. Kita juga mengajak rakyat Malaysia supaya lebih peka agar tidak diperdaya.

Kementerian Komunikasi dan Digital dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengambil langkah-langkah yang perlu termasuk memperketat undang-undang,” katanya kepada pemberita Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerja selama dua hari di negara ini.

Terbaharu, media melaporkan lima pencari kerja rakyat Malaysia, yang mendakwa diperdaya untuk ke Myanmar dan dipaksa bekerja dalam sindiket penipuan siber diselamatkan dan kini berada di Bangkok untuk dibawa pulang.

Sehingga 26 Januari, PDRM menerima 262 laporan mengenai 330 rakyat Malaysia terjebak dalam penipuan pekerjaan dan kini terkandas di luar negara dengan 218 orang telah diselamatkan dan usaha membawa pulang bakinya sedang giat dijalankan.

Modus operandi sindiket kebanyakannya memperdayakan mangsa menerusi iklan peluang kerjaya di laman social termasuk Facebook sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan bayaran yang lumayan.

Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu akan menghubungi ejen melalui aplikasi WeChat, WhatsApp dan Messenger.

Setelah mendapat persetujuan mangsa, ejen memaklumkan akan mengurus dan menanggung kos perbelanjaan perjalanan ke destinasi pekerjaan dan setelah tiba di destinasi, semua dokumen perjalanan dan telefon mangsa akan dirampas dan dimusnahkan.

Mangsa akan dikurung dan dikawal ketat serta akhirnya dipaksa bekerja untuk sindiket perjudian dalam talian, "scammer”, pelaburan, "love scam” dan penipuan lain. - Bernama