UNICEF kumpul dana AS$1 juta bantu kanak-kanak mangsa gempa bumi

Seorang kanak-kanak yang cedera akibat gempa bumi di Gempa di daerah Iskenderun di wilayah Hatay, Turkiye mendapatkan rawatan di hospital berhampiran. - EPA
Seorang kanak-kanak yang cedera akibat gempa bumi di Gempa di daerah Iskenderun di wilayah Hatay, Turkiye mendapatkan rawatan di hospital berhampiran. - EPA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyasarkan untuk menggumpul sebanyak AS$1 juta bantuan kemanusiaan khususnya kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa gempa bumi dahsyat di Turkiye dan Syria.

Wakil UNICEF Malaysia, Robert Gass berkata, pihaknya telah melancarkan kutipan dana kecemasan di negara ini untuk membantu kanak-kanak dan keluarga mereka yang dipindahkan ekoran kemusnahan akibat bencana itu.

"Kami berkongsi rasa sedih dan terkejut atas kemusnahan yang disebabkan oleh gempa bumi di Turkiye dan Syria.

"Oleh itu, UNICEF juga sedang menyelaraskan kerjasama dengan kerajaan untuk membantu kanak-kanak dan keluarga mereka yang terlibat supaya dapat meringankan beban yang ditanggung," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Media melaporkan, jumlah kematian akibat gempa bumi dan gegaran susulan yang melanda Turkiye dan Syria sehingga kini telah melepasi 21,000 orang, dengan angka meningkat setiap hari.

Angka kematian itu turut membabitkan kanak-kanak, dengan ribuan yang lain cedera dalam kemusnahan besar tersebut.

Robert menjelaskan, di Turkiye, UNICEF sedang menyelaras dengan Kerajaan Türkiye dan Presidensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) negara itu untuk mengenal pasti keperluan mangsa-mangsa.

"Keutamaan kami ialah memastikan kanak-kanak dan keluarga terjejas menerima sokongan yang mereka sangat perlukan.

"UNICEF bekerjasama dengan Kerajaan Turkiye untuk memastikan perlindungan kanak-kanak di wilayah yang terjejas serta menyediakan pakaian musim sejuk yang hangat dan selimut untuk beribu-ribu kanak-kanak dan bayi. Kami turut menyediakan kit asas kebersihan untuk keluarga yang berpindah dan kit ibu-bayi," ujarnya.

Untuk di Syria pula, Robert memberitahu, tumpuan segera diberikan UNICEF untuk memastikan kanak-kanak dan keluarga yang terjejas mempunyai akses kepada perkhidmatan air minuman dan sanitasi yang selamat dan kritikal dalam mencegah penyakit pada hari-hari awal krisis bencana berkenaan.

"UNICEF sedang menilai kesan gempa ke atas stesen pembekal air utama, selain mengutamakan penyediaan bekalan air selamat untuk mereka yang berpindah.

"Satu lagi keutamaan kami ialah dari segi perlindungan kanak-kanak. Ini termasuk usaha menyatukan semula kanak-kanak yang terpisah dengan keluarga mereka serta memberikan sokongan psikososial kerana ramai kanak-kanak mungkin mengalami trauma teruk susulan kejadian gempa bumi kuat ini yang pertama kali dilalui mereka," jelasnya.

Berikutan itu, Robert berkata, UNICEF menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengutamakan keperluan kanak-kanak memandangkan golongan itu adalah antara yang terjejas teruk selepas kejadian gempa berkenaan.

Katanya, UNICEF Malaysia juga akan berhubung dengan para penyumbang dalam usaha penggumpulan dana terbabit.