RENTASIA 2023 himpun 200 penyelidik martabat warisan budaya

Muhammad Nasir Hamzah (dua dari kanan) merasmikan Simposium Antarabangsa Rentasia 2023 di Muzium Kesenian Islam Malaysia pada Khamis.
Muhammad Nasir Hamzah (dua dari kanan) merasmikan Simposium Antarabangsa Rentasia 2023 di Muzium Kesenian Islam Malaysia pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Simposium Antarabangsa Rentas Asia 2023 (RENTASIA 2023) menghimpunkan seramai 200 penyelidik dari 14 universiti tempatan dan luar negara dengan melibatkan empat negara sebagai usaha memartabatkan warisan budaya Melayu di persada antarabangsa.

Dekan Penyelidikan & Inovasi, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Profesor Madya Dr Sharifah Syed Mohammed berkata, simposium itu juga dilihat sebagai medan pertemuan penyelidik antarabangsa menjalinkan kerjasama selain bertukar pengalaman demi melestarikan warisan bangsa di negara masing-masing.

"Baru-baru ini Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam perutusan Tahun Baharu 2023 ada menyebut tentang 'High Arts' dalam inti pati ucapannya dan beliau menyatakan mega trend dunia kini menjurus kepada tiga perubahan dan salah satunya ialah High Arts.

"Berdasarkan mega trend itu, saya melihat simposium antarabangsa ini sebagai salah satu inisiatif untuk melestarikan di samping memartabatkan seni dan budaya Melayu agar sentiasa segar walaupun ada kalanya perlu disuntik dengan elemen kontemporari bersesuaian dengan kehendak semasa.

"Inilah misi yang perlu sentiasa dibawa ke hadapan jika kita ingin melihat seni dan budaya Melayu mampu ditempatkan pada posisi terbaik di peringkat antarabangsa," katanya ketika berucap pada perasmian RENTASIA 2023 di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini pada Khamis.

Turut hadir, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang merasmikan program itu selain hadir sama Timbalan Pengarah Umum (Promosi) Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof dan Pengerusi RENTASIA 2023 Siti Humaira Ramli.

Tambah Sharifah, penganjuran RENTASIA 2023 menjadi detik permulaan dan titik kesedaran bagi semua pihak tentang pentingnya untuk terus mengorak langkah dalam usaha memperkasakan seni dan budaya Melayu.

Sementara itu, Muhammad Nasir berkata, seni, budaya, bahasa dan sastera merupakan warisan bangsa Melayu yang perlu dipertahankan dan diperkasakan oleh setiap rakyat Malaysia sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa lebih-lebih lagi dalam konteks dunia tanpa sempadan hari ini.

"Usaha UiTM menganjurkan RENTASIA 2023 dengan kerjasama rakan strategik perlu dipuji kerana ia dapat menghubungkan seluruh penyelidik dalam dan luar negara sebagai medan pertemuan akademik.

"Selain dapat menyemarakkan keterlibatan pelbagai negara Asia terhadap kesenian, kebudayaan dan warisan Melayu menerusi wacana ilmu dan simposium tersebut," jelasnya.

Muhammad Nasir menyampaikan ucapan pada Simposium Antarabangsa Rentasia 2023 di Muzium Kesenian Islam Malaysia pada Khamis.
Muhammad Nasir menyampaikan ucapan pada Simposium Antarabangsa Rentasia 2023 di Muzium Kesenian Islam Malaysia pada Khamis.

Justeru, Muhammad Nasir berkata, simposium itu diharapkan dapat menjadi platform yang berkesan untuk memperkasakan seni dan budaya dalam kalangan dunia akademik dan masyarakat umumnya.

Selain itu, Musa berkata, penganjuran simposium tersebut dapat menyemarakkan sumbangan ilmu dari UiTM dengan rakan strategiknya kepada masyarakat dalam memberi kefahaman dan ilmu pengetahuan terutama terhadap kepentingan menghargai dan meraikan seni serta budaya Melayu.

"Saya amat mengalakkan keterlibatan masyarakat terhadap program simposium antarabangsa seperti ini bagi memastikan ekosistem pendidikan di negara imi tersu kekal berdaya saing dan relevan untuk generasi akan datang.

"Kita harapkan penganjuran itu dapat mencapai objektif simposium untuk menyemarakkan keterlibatan pelbagai masyarakat terhadap sumbang saran ilmu seni dan budaya Melayu menerusi aktiviti wacana ilmi dalam simposium diadakan," jelas Musa.

Program anjuran Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Shah Alam selama satu hari dengan bertemakan 'Seni dan Budaya Melayu Merentas Sempadan' itu melibatkan 14 institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Turut terlibat ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Pengurusan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR).

Manakala negara serantau lain seperti Indonesia; Universitas Andalas dan Universitas Islam Negeri Walisongo Semarang, Thailand; Prince of Songkla University Pattani serta China; Guangdong Univesity of Foreign Studies.

RENTASIA 2023 menerima 200 penyertaan secara fizikal dan pembentangan secara video mengenai penyelidikan dalam pelbagai bidang antaranya semi, budaya, bahasa, sastera, falsafah, terjemahan dan interpretasi, sejarah, pelancongan dan tema-tema lain berkaitan.