Kedai makan yang 'indah khabar daripada rupa'

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

KADANG-kadang Merak Jalanan hairan dengan sikap sesetengah pengusaha restoran atau kedai makan.

Betullah memang tak salah nak menggunakan tagline seperti ‘terlajak sedap’, ‘padu’, ‘power gila’, ‘harga mesra rakyat’ atau macam-macam lagilah sebagai justifikasi menu atau servis disediakan di premis mereka.

Sudah namanya berniaga, ayat pun mestilah menarik menarik perhatian pelanggan. Itu Merak Jalanan faham.

Cuma Merak Jalanan geram ‘tersinggah’ ke restoran yang over claimed apabila makanan yang dihidangkan hanya indah khabar daripada rupa.

Jika melihat kepada reka bentuk dalaman premis, memang sejuklah mata memandang. Belum lagi cerita barisan menu dan gambar makanan yang terletak elok semuanya.

Deretan nama menu pun tak kurang hebat, berbelit lidah hendak menyebutnya. Lihat kepada harga pula, kita boleh fikir sendiri dengan dekorasi sesuai untuk healing yang disediakan, selain lokasinya di kawasan bandar.

Sebulan sekali kata orang, naklah juga kita merasa makan di tempat istimewa bersama insan tersayang selepas berpenat lelah dengan urusan seharian.

Yang membuatkan Merak Jalanan naik angin kerana sudahlah menunggu dengan perut lapar, makanan yang sampai pula tidak seperti yang ‘diimpikan'.

Makanan berlaukkan udang tetapi hanya ada dua ekor udang dan lebih malang ‘tiada rasa’. Merak Jalanan cuba lagi selak-selak di sebalik makanan tersebut tapi memang betul cuma ada dua ekor udang dengan harga RM35. Kalau udang bersaiz besar, boleh juga diterima akal.

Sebagai pengguna, ramai yang tidak kisah untuk bayar lebih jika servis yang diberikan padu dan mantap, apatah lagi ‘terpaling sedap’ seperti yang ditulis di media sosial untuk mempromosikan premis perniagaan.

Memang benar mana ada orang berniaga yang tak mahu untung tetapi berpada-padalah dan masaklah dengan ikhlas.