'Peruntukan ahli Parlimen patut ditambah, bukan dikurangkan'

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Pengurangan peruntukan pembangunan ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta adalah tindakan tidak wajar.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebaliknya menyifatkan peruntukan berkenaan wajar dinaikkan mengikut keperluan sesebuah kawasan Parlimen.

Menurutnya, peruntukan pembangunan bagi setiap kawasan seharusnya dinilai berdasarkan beberapa aspek antaranya, keluasan, kepadatan penduduk serta sosioekonomi.

“Memang tidak mencukupi apabila dikurangkan. Patut ditambah, bukan kurangkan. Tanyalah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli macam mana untuk tingkatkan daripada RM3.8 juta kepada RM8.8 juta, sebagai contoh, tentu beliau ada formula.

“Janganlah bagi sama rata untuk semua kawasan sebab jumlah keluasan, pengundi, sosial, ekonomi berbeza bagi setiap parlimen. Patut diberikan pertimbangan.

"Contohnya, tarik peruntukan dari Tambun yang miliki banyak kemudahan ke Sik sebab ia Parlimen paling besar di Kedah,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis penyerahan insentif kemenangan sempena Sukan Malaysia (Sukma) di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, kawasan Parlimen di luar bandar perlu diberikan penambahan menerusi bajet yang akan dibekalkan oleh kerajaan Persekutuan mengikut keperluan.

“Saya rasa Parlimen yang keluasan besar seperti Baling, RM1.3 juta itu sangat kecil jumlahnya berbanding Putrajaya yang sudah ada banyak kemudahan, jumlah itu mungkin besar sebab tiada keperluan sangat.

“Aspek lain yang perlu dilihat ialah kumpulan sasar yang perlu dibantu seperti golongan miskin atau penoreh mengikut daerah,” katanya.

Menurutnya, peruntukan berkenaan akan dibelanjakan menerusi Pejabat Pembangunan Negeri Kedah (ICU) atau pejabat daerah untuk projek pembangunan rakyat.

“Kalau dikurangkan kepada RM1.3 juta bermakna sebulan sekitar RM100,000 dan sebahagian lagi untuk menguruskan pejabat wakil rakyat.

"Macam-macam permintaan daripada rakyat apabila ahli Parlimen turun kawasan, ketika peruntukan tidak dipotong, macam-macam boleh dibuat, mana yang tidak dapat dilaksanakan menerusi agensi kerajaan, dilaksanakan melalui peruntukan terbabit,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, kemungkinan pengurangan tersebut antara langkah kerajaan Persekutuan untuk menjimatkan perbelanjaan namun ia wajar dinilai semula.

“Adakah ini lambang kerajaan Madani yang mengurangkan peruntukan pembangunan untuk rakyat?

“Perdana Menteri pun tahu bukan senang nak adakan peruntukan sebanyak itu sebab Bajet 2023 belum lulus lagi. Mungkin hujung Mac lulus dan selepas Mac baru boleh belanja walaupun tidaklah sebesar tahun-tahun lepas,” katanya.

Tambah beliau, menerusi pengurangan itu juga, ahli Parlimen perlu bijak menilai keutamaan projek pembangunan dan tidak mungkin dapat menunaikan banyak permintaan rakyat.

“Untuk perbelanjaan sebelum ini, saya rakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan sebab ia dapat dinikmati oleh ramai penduduk. Apabila dikurangkan, wakil rakyat harus menentukan apa perlu dibuat terlebih dahulu,” katanya.