NGO buat laporan polis peguam hina institusi beraja

Satu laporan polis dibuat Putra Malaysia terhadap seorang peguam dipercayai memuat naik gambar dan kenyataan berbaur penghinaan kepada institusi beraja. - Foto Bernama
Satu laporan polis dibuat Putra Malaysia terhadap seorang peguam dipercayai memuat naik gambar dan kenyataan berbaur penghinaan kepada institusi beraja. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Putra Malaysia pada Rabu membuat laporan polis terhadap seorang peguam dipercayai memuat naik gambar dan kenyataan berbaur penghinaan kepada institusi beraja di Facebooknya, tahun lepas.

Jurucakap Putra Malaysia, Mohd Izzani Mubarak Ibrahim berkata, peguam berkenaan yang menggunakan nama William HS Foo di akaun Facebooknya telah memuat naik beberapa keping gambar anjing peliharaannya dan memberi gelaran ‘Datuk Seri, Datuk Seri Paduka dan Datuk Wira’ pada Oktober dan Disember tahun lepas.

"Mengikut pautan di Facebook tersebut, kami hari ini terjumpa beberapa hantaran dibuat yang mana bagi kami jelas satu penghinaan keras kepada institusi raja dan perlembagaan.

"Gelaran-gelaran yang diberikannya kepada anjing tersebut adalah gelaran mulia dari istana. Kami hormat kerjayanya sebagai seorang peguam tetapi amat tidak berpuas hati dengan tindakan beliau yang seharusnya fasih mengenai undang-undang negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, pada Rabu.

Mohd Izzani Mubarak berkata, beliau berharap polis akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap lelaki tersebut dan laporan berkenaan juga dibuat agar dapat memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Perlu untuk masyarakat tahu bahawa jangan sewenang-wenangnya ambil tindakan sebegini untuk menghina apa-apa gelaran yang diberikan istana. Sama-samalah kita jaga kedaulatan, perlembagaan dan undang-undang negara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes berkenaan akan dirujuk kepada Unit Siasatan jenayah Terkelas Bukit Aman. - Bernama