Anwar dedah perolehan vaksin tanpa persetujuan Peguam Negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan perolehan vaksin Covid-19 dan kos yang dimuktamadkan sebelum ini tidak mengikuti peraturan.

Menurutnya, perolehan bagi vaksin itu telah ditandatangani oleh Menteri Kesihatan tanpa mendapat persetujuan daripada Peguam Negara (AG).

"Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan kertas putih mengenai perkara itu di Parlimen," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di sini pada Rabu.

Menurutnya, perolehan sesetengah vaksin diragui dari segi jumlah dan kos terlibat.

"Kertas Putih ini akan dibentangkan kerana pada peringkat awal dikesan terdapat ketirisan oleh menteri," katanya.

Ditanya mengenai siapakah Menteri Kesihatan yang terlibat dengan perolehan vaksin tersebut, Anwar tidak menamakannya.

"Ini bukan soal menteri mana tetapi menteri-menteri terlibat perlu jawab dan memberi penjelasan," katanya.

Pada 28 Julai 2021, Kementerian Kewangan (MOF) menurunkan kuasa kepada KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memuktamadkan perolehan vaksin di peringkat kementerian masing-masing.

Langkah tersebut sebahagian daripada usaha untuk memudahcara dan menyegerakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Selain itu, MOF turut meningkatkan peruntukan bagi perolehan vaksin dan PICK daripada RM3 bilion iaitu komitmen yang diumumkan pada hujung tahun 2020 kepada RM5.8 bilion seperti yang diumumkan melalui Pakej PEMULIH pada bulan Jun 2021.

Pada 28 Julai 2021, Menteri Mosti ketika itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, semua dokumen perjanjian vaksin dan butiran perbelanjaan termasuk harga vaksin bagi PICk telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memastikan ketelusan semua perbelanjaan program PICK.