Sekretariat Kerajaan Perpaduan setuju tubuh tiga jawatankuasa

Anwar (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn di ibu negara pada Selasa.
Anwar (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn di ibu negara pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia pada Selasa bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa melibatkan semua parti dalam kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, jawatankuasa tersebut adalah Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

"Jawatankuasa ditetapkan ini ada tiga (iaitu) Jawatankuasa Strategi, kedua Jawatankuasa Pilihan Raya, menumpukan pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan bila-bila masa dan jawatankuasa ini tentunya akan merencanakan hal-hal PRN.

"Ia meliputi pembahagian kerusi dan menumpukan kegiatan mereka untuk pastikan kita punyai tapak yang kukuh dalam menghadapi PRN.

"Suatu hal yang sangat positif bagi saya (adalah) kesepakatan dan komitmen semua parti termasuk Sabah dan Sarawak untuk membantu sebagai satu pasukan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn pada Selasa

Mesyuarat kali pertama itu turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof di samping pimpinan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Mengulas lanjut Anwar berkata, Jawatankuasa Strategi pula bertindak untuk berdepan komunikasi dan kenyataan fitnah melampau terhadap Kerajaan Perpaduan.

Sebagai contoh beliau berkata, isu pembakaran al-Quran yang berlaku di luar negara baru-baru ini menyaksikan beberapa tokoh agama tampil mendakwa kerajaan seolah-olah tidak bertindak terhadap isu berkenaan.

“Padahal pada masa itu kita telah mengeluarkan kenyataan keras mengecam tindakan berkenaan dan Kementerian Luar turut memanggil duta Sweden, berikutnya saya umumkan pengedaran satu juta naskhah al-Quran.

“Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik pula akan mengambil kira pandangan manifesto yang dikemukakan termasuk kos sara hidup serta kerjasama antara semua kaum,” jelasnya.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Tambun itu memaklumkan, ketiga-tiga jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh beliau manakala ketua-ketua parti sebagai timbalan pengerusi.

“Jawatankuasa dilantik akan bersidang beberapa minggu ini. Terima kasih kepada mereka (kerana) berikan persetujuan untuk saya pengerusikan dan ketua-ketua parti gabungan akan menjadi timbalan pengerusi dan berikutnya pimpinan lain sebagai naib pengerusi.

“Sekretariat diketuai oleh Setiausaha Agung iaitu Datuk Seri Fadillah dan Ketua Sekretariat adalah Datuk Asyraf Wajdi (Ketua Pemuda UMNO). Pimpinan parti lain akan menganggotai Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan,” katanya.