Banjir: 'Setiap tahun inilah kami lalui'

Keadaan banjir di Kampung Chendering.
Keadaan banjir di Kampung Chendering.
A
A
A

KUANTAN - Tiada apa yang mampu diungkapkan oleh penduduk di Kampung Chendering di sini, selain reda mengenangkan kediaman mereka saban tahun dinaiki air.

Mohd Fadzil Ngah, 41, berkata, bencana banjir kali ini juga tidak dapat dijangka apabila hujan lebat tidak sampai 24 jam menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berpindah.

Beliau yang bekerja sebagai mekanik berkata, selepas berapa minit siren amaran banjir di kampung terbabit dibunyikan, air naik mendadak sehingga ke paras buku lali ke lutut.

"Kali ini air naik cepat, dengan hujan lebat lagi, jadi bila nampak kawasan kampung sudah dinaiki air, saya sekeluarga berkemas untuk berpindah.

"Kalau bab pindah ini, biasa bagi saya dan kami penduduk pun sudah reda sebenarnya sebab setiap tahun inilah kami lalui," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Fadzil bersama isteri dan tiga anaknya mengharungi air banjir sejauh 50 meter dari rumahnya untuk ke PPS berdekatan.
Mohd Fadzil bersama isteri dan tiga anaknya mengharungi air banjir sejauh 50 meter dari rumahnya untuk ke PPS berdekatan.

Bapa kepada empat anak itu memaklumkan, semua persiapan telah dilakukan sejak malam Ahad dengan menyimpan semua perkakasan elektrik dan perabot.

Katanya, hanya benda penting seperti dokumen, pakaian dan beberapa kelengkapan lain disediakan untuk kegunaan di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Saya tidak pasti lagi akan tinggal di PPS mana dan kini menunggu bantuan anggota keselamatan," jelasnya yang turut mengharungi air banjir bersama isteri dan tiga anaknya sejauh 50 meter dari rumah untuk ke PPS berdekatan.

Sementara itu, Nur Anis Akmal, 23, mengakui cemas kerana kali pertama berdepan dengan situasi banjir.

Nur Anis
Nur Anis

Menurutnya, kejadian berlaku terlalu pantas dan hanya menyedari air memasuki kediamannya selepas kakinya tiba-tiba terasa basah.

"Ketika itu saya berada di dapur. Bila melihat air memasuki rumah saya segera mengemas beberapa keperluan penting untuk ke PPS berdekatan," ujar ibu kepada dua anak itu.

Beliau yang tidak berkerja menganggap ia sebahagian ujian daripada ALLAH dan reda dengan setiap musibah yang diberikan.

Bagaimanapun, Nur Anis meminta pihak berkuasa perlu melakukan sesuatu agar banjir tidak berulang di kawasan itu.