Tempoh perkhidmatan Haim Hilman dipendekkan kerana ada aduan

Mohamed Khaled menurunkan tandatangan semasa melawat pameran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor Bahru, pada Isnin.
Mohamed Khaled menurunkan tandatangan semasa melawat pameran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor Bahru, pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Tempoh perkhidmatan Profesor Dr Haim Hilman Abdullah sebagai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kesembilan dipendekkan kerana terdapat aduan membabitkannya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, aduan tersebut diterima daripada pensyarah dan Lembaga Pengarah universiti berkenaan pada tahun lalu.

Beliau yang enggan mendedahkan secara lebih terperinci berkata, siasatan ada dibuat terhadap aduan berkenaan.

"Penyingkatan tempoh bekas Naib Canselor itu bukan kehendak menteri. Pertukaran di UUM itu adalah menyingkatkan tanggungjawab dia.

"Dia terus jadi profesor di fakultinya, bukan maknanya dia dibuang. Sebenarnya terdapat aduan daripada pensyarah dan Lembaga Pengarah universiti berkenaan (tetapi) tak paya lah kita (dedahkan) tapi ada ada siasatan dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini pada Isnin.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norliza Noh serta Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Pada 20 Disember lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi satu kenyataan memaklumkan tempoh perkhidmatan Haim Hilman sebagai Naib Canselor UUM dipendekkan berkuat kuasa 18 Januari lalu.

Kenyataan berkenaan turut memaklumkan amat menghargai khidmat Haim Hilman, 49, sejak dilantik mengemudi UUM pada 17 Januari tahun lalu.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, KPT berhasrat supaya UTM menjadi peneraju dalam penyelidikan berasaskan teknologi untuk membawa transformasi pendigitalan negara.

Perkara itu ujar beliau, penting kerana akan membantu negara untuk saling bersaing selain bagi membangunkan ekonomi negara.

"Itu yang saya kata kalau kita nak melonjakkan kemajuan ekonomi, ekonomi mestilah berasaskan kepada inovasi.

"Jadi dengan misinya sebagai sebuah universiti yang menginovasi penyelesaian, saya rasa ini sangat tepat sekali dan sudah sampai masanya universiti-universiti dalam negara terutamanya UTM meningkatkan keterlihatannya dan sumbangannya untuk negara dan masyarakat," katanya.

Beliau berkata, KPT juga akan memberi sokongan penuh kepada universiti itu untuk meneruskan peranan dan tanggungjawab mereka yang bukan sahaja melahirkan graduan yang diperlukan negara, tetapi meningkatkan keberhasilan penyelidikan mereka.

Menurutnya, kadar kebolehpasaran graduan UTM melebihi 90 peratus manakala 30 peratus graduan universiti itu mendapat pendapatan premium dengan gaji minimum RM4,000 apabila diterima bekerja.

Tambahnya, satu lagi kekuatan UTM ialah apabila mendapat kerjasama begitu baik dengan industri dan banyak hasil penyelidikannya yang diaplikasikan sama ada kepada komuniti dan juga dalam membantu kerajaan.