Lebih 500 produk tidak berdaftar, kosmetik dirampas

Dr Kasemani (dua dari kanan) melihat produk yang dipamerkan sempena Program Gerak Gempur Cakna Ubat Tahun 2023 di KTCC Mall, Kuala Terengganu pada Ahad.
Dr Kasemani (dua dari kanan) melihat produk yang dipamerkan sempena Program Gerak Gempur Cakna Ubat Tahun 2023 di KTCC Mall, Kuala Terengganu pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berjaya merampas sebanyak 544 jenis produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dalam tempoh dua tahun sejak 2021.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, semua rampasan dianggarkan bernilai RM945,727 itu merupakan hasil daripada 121 operasi yang dijalankan di seluruh negeri sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, sebanyak 121 operasi penguatkuasaan turut diadakan pada tahun 2019 hingga 2020 di negeri ini melibatkan rampasan 1,231 jenis produk dan kosmetik bernilai lebih RM1.19 juta.

"Kebanyakan produk yang dirampas oleh penguat kuasa adalah ubat-ubatan tidak berdaftar dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)," katanya kepada media selepas hadir merasmikan Program Gerak Gempur Cakna Ubat Tahun 2023 di KTCC Mall di sini pada Ahad.

Dr Kasemani berkata, sebanyak RM282,450 denda melibatkan 121 kes telah dikenakan kepada peniaga terlibat membabitkan kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952, Akta Racun 1952 (pindaan 2022) dan Akta Ubat (iklan dan penjualan 1956).

Jelas beliau, Cawangan Penguatkuasaan Farmasi sentiasa menjalankan pemantauan dan operasi serbuan ke atas pelbagai jenis premis termasuk penjualan dalam talian produk tidak berdaftar serta kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM.

Sehubungan itu, Dr Kasemani mengingatkan orang ramai supaya hanya menggunakan produk berdaftar dan kosmetik bernotifikasi dengan KKM bagi mengelak kesan negatif kepada kesihatan diri.

"Orang awam boleh menyemak status pendaftaran produk melalui sesawang https://npra.moh.gov.my atau menggunakan aplikasi FarmaChecker dari Google Playstore atau App Store.

"FarmaChecker berfungsi sebagai indikator sesebuah produk ubat itu tulen atau palsu dengan memeriksa ketulenan hologram FarmaTag, jadi orang awam boleh mengetahui ketulenan ubat dengan cepat dan tepat," katanya.