Projek Bandar Malaysia diteruskan

Dr Mahathir menjawab pertanyaan media pada sidang media khas di Yayasan Al-Bukhary, hari ini. - Foto Bernama
Dr Mahathir menjawab pertanyaan media pada sidang media khas di Yayasan Al-Bukhary, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan membuat keputusan untuk meneruskan semula Projek Bandar Malaysia yang sebelum ini telah dihentikan pada Mei 2017, bagaimanapun akan ditambah baik khusus untuk rakyat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sejajar dengan hasrat dan dasar kerajaan untuk memastikan pembangunan Bandar Malaysia berteraskan rakyat dan mampu menambah nilai substantif kepada ekonomi negara.

Jelas beliau, kerajaan bersetuju untuk membina sebuah Taman Rakyat, selain 10,000 buah rumah kos rendah dan memastikan projek itu dengan penyertaan Bumiputera turut memberi keutamaan terhadap penggunaan bahan binaan tempatan.

"Langkah ini tidak dinafikan akan dapat meningkatkan nilai dalam ekonomi, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan, memacu sektor jualan dan permintaan bagi ruang kediaman dan komersial. "Selain itu, projek ini akan menggerakkan industri kecil dan sederhana melalui peningkatan rantaian nilai serta merangsang permintaan untuk bahan binaan keluaran Malaysia, teknologi dan bakat tempatan bagi memastikan pembangunan bandar yang lestari," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Al-Bukhary di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, Bandar Malaysia dijangka memberikan impak kepada ekonomi Malaysia dan akan menjadi hub global bagi menarik syarikat kewangan global berimpak tinggi, teknologi dan perdagangan.

"Projek ini dijangka menjana impak yang besar kepada pembangunan bandar untuk Malaysia mendapat lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dan menjana nilai pembangunan keseluruhan (GDV) sebanyak RM140 juta.

"Ia bukan sahaja dapat menarik institusi kewangan antarabangsa, syarikat multinational dan syarikat Fortune 500 untuk menempatkan ibu pejabat serantau mereka di Bandar Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Bandar Malaysia
Bandar Malaysia

"Syarikat seperti Alibaba dan Huawei turut menunjukkan minat bagi mengukuhkan pusat teknologi maklumat mereka," katanya.

Menerusi tender terbuka antarabangsa yang disertai oleh lebih daripada 40 syarikat terkenal dunia termasuk dari Jepun, Australia dan Timur Tengah, usahasama itu akan melibatkan sebanyak 60 peratus dalam Syarikat Bandar Malaysia Sdn. Bhd.

Projek itu telah dianugerahkan kepada konsortium, IWH-CREC Sdn. Bhd. (ICSB).

Dalam pada itu, kerajaan mengalu-alukan komitmen ICSB untuk membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM500 juta sebagai tambahan kepada jumlah deposit asal RM741 juta dibayar dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh kerajaan secara rasmi meneruskan semula projek itu.

Tambah Perdana Menteri, Bandar Malaysia akan menjadi perintis dalam perancangan bandar sebagai pembangunan berasaskan transit (TOD) yang akan mengoptimumkan jumlah kediaman, perniagaan dan ruang santai.

"Projek ini akan menyumbang ke arah persekitaran yang lebih hijau dengan memudahkan dan memberi insentif penggunaan pengangkutan awam berbanding kenderaan peribadi," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Projek Bandar Malaysia harus dilihat di dalam konteks yang lebih besar untuk memupuk dan menyatukan hubungan dua hala jangka panjang antara Malaysia dan China selain memastikan bahawa projek itu mempunyai nilai tambah ekonomi maksimum kepada negara.

"Kedua-dua projek utama ini juga akan menjadi sumbangan penting kepada Inisiatif One Belt, One Road yang dijangka mendapat memanfaatkan dan kesan berganda sepanjang rantaian nilai tersebut. Bagaimanapun, Dr Mahathir menekankan bahawa prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan akan kekal dan paling penting pada setiap masa.

"Tiada rasuah atau apa-apa bentuk tawaran gelap akan diterima. Pendekatan ini akan menghalang kebocoran, urusan yang dipersoalkan dan penyalahgunaan kuasa serta akan diterjemahkan kepada penjimatan untuk kerajaan," tegas beliau.