Diarah kosongkan rumah, Selangor beri pampasan RM300,000

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

AMPANG - Kerajaan Selangor akan menyalurkan pampasan sekitar RM300,000 kepada 15 pemilik rumah di Bukit Permai Fasa 2 di sini selepas diarahkan mengosongkan unit yang diisytihar tidak selamat diduduki.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim berkata, satu pertemuan bersama penduduk terlibat akan diadakan dalam masa terdekat bagi memberikan penerangan berhubung perkara itu.

Menurutnya, ketika ini Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah mengeluarkan notis arahan pengosongan kepada pemilik terlibat.

"Laporan teknikal menunjukkan kawasan itu tidak selamat diduduki dan perlu dikosongkan.

"Susulan daripada keputusan tersebut, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan ex-gratia atau bantuan ehsan dianggarkan RM300,000 kepada pemilik terlibat," katanya mengulas perkembangan status pengosongan unit terlibat.

Izham (tengah) ketika sidang akhbar Pelancaran Jualan Jelajah Ehsan Rakyat 2.0 di Dewan Komuniti Taman Nirwana pada Sabtu.
Izham (tengah) ketika sidang akhbar Pelancaran Jualan Jelajah Ehsan Rakyat 2.0 di Dewan Komuniti Taman Nirwana pada Sabtu.

Beliau ditemui ketika Pelancaran Jualan Jelajah Ehsan Rakyat 2.0 di Dewan Komuniti Taman Nirwana pada Sabtu.

Pada 9 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan 15 unit rumah di Taman Bukit Permai Fasa 2 di sini diisytihar tidak selamat dan perlu dikosongkan susulan kejadian cerun runtuh Mac, tahun lepas.

Keputusan tersebut dibuat selepas laporan teknikal oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kumpulan Ikram Sdn Bhd (Ikram) di lokasi tersebut keluar.

Izham berkata, rumah terlibat akan dikosongkan dan dirobohkan serta dijadikan sebagai zon penampan.

"Rumah tersebut menyebabkan beban pada struktur tanah di tebing tersebut. Kalau dibiarkan tanpa tindakan, ia akan memberikan kesan jangka masa panjang (tanah runtuh).

"Kita akan pastikan tiada struktur bangunan didirikan di kawasan selepas rumah terlibat dirobohkan," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan turut tawarkan pembelian Rumah Selangorku dengan harga istimewa RM200,000 kepada pemilik terlibat.

"Pampasan RM300,000 yang diterima lebih daripada cukup untuk pembelian Rumah Selangorku tersebut, namun itu terpulang kepada mereka," katanya.