Banjir termenung punca mangsa di Batu Pahat tidak boleh pulang

Anggota bomba membantu mangsa banjir di Parit Jayus dan Parit Basri Darat di Yong Peng, Batu Pahat, pada Khamis semasa melakukan pemantauan. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor
Anggota bomba membantu mangsa banjir di Parit Jayus dan Parit Basri Darat di Yong Peng, Batu Pahat, pada Khamis semasa melakukan pemantauan. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Banjir termenung menjadi punca paras air di Batu Pahat lambat surut berbanding lima daerah lain yang sudah pulih.

Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, keadaan cuaca pada Jumaat bertambah baik dan air mula surut di Batu Pahat terutama di Kampung Sejagong.

"Perkembangan ini membolehkan satu PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Sejagong yang menempatkan 44 penduduk membabitkan 14 keluarga dari kampung itu ditutup pada jam 3 petang tadi.

"Ini menjadikan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 827 penduduk daripada 232 keluarga di lima PPS," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, lima PPS yang masih beroperasi di Batu Pahat melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Sejati, SK Sri Medan, SK Tenaga Setia, Dewan Orang Ramai Sri Medan dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chong Hwa.

Tambahnya, semua mangsa merupakan penduduk dari Kampung Parit Terus, Kampung Parit Haji Ahmad, Kampung Parit Basri, Kampung Parit Khalid, Kampung Parit Jayus, Kampung Parit Ulong dan Kampung Sri Pasir.

Beliau berkata, secara keseluruhan jumlah mangsa banjir di negeri ini terus menurun apabila hanya tinggal seramai 853 mangsa daripada 241 keluarga yang masih ditempatkan di enam PPS di Batu Pahat dan Segamat setakat jam 4 petang Jumaat.

Katanya, di Segamat seramai 26 mangsa banjir melibatkan sembilan keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak masih ditempatkan di balai raya kampung itu.

"Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) juga meramalkan hujan lebat dan ribut petir di Segamat, Kluang dan Mersing di negeri ini.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) turut memaklumkan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau, Kulai masih ditutup untuk semua kenderaan disebabkan tanah runtuh manakala Jalan Tanah Abang, Mersing masih ditutup disebabkan air naik," ujarnya.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Bekok di Batu Pahat kini mencecah 18.80 meter (m) iaitu melepasi paras bahaya 18.70m.