CPI merosot: Jangan rosakkan masa depan anak muda

Muka hadapan Sinar Harian pada Rabu. - Gambar kecil: Ahmad Faizal
Muka hadapan Sinar Harian pada Rabu. - Gambar kecil: Ahmad Faizal
A
A
A

SHAH ALAM - Kemerosotan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang gagal dibendung berpotensi menjejaskan dan merosakkan masa depan anak muda.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan perlu melakukan langkah drastik untuk menghalang skor CPI daripada terus merosot.

“Skor CPI merosot ini satu perkara yang amat menyedihkan. Apabila kita lihat saban tahun ia semakin merosot, ini memerlukan sedikit masa dan usaha yang banyak untuk kerajaan bertindak.

“Ini juga untuk perbaiki dan menggalakkan pelaburan luar yang lebih banyak,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan mengumumkan skor CPI Malaysia tahun 2022 terus merosot kepada 47 mata dalam kalangan 180 negara.

Menurut Muhammad, daripada 53 pada 2019, skor negara telah jatuh enam mata dalam tempoh tiga tahun lepas.

Tambah Ahmad Faizal, gerakan Rasuah Busters yang ditubuhkan hampir dua tahun dilihat berpotensi untuk membendung gejala tersebut dari berleluasa.

Jelasnya, gerakan itu perlu diteruskan, diperkemas dan diperhebat di semua peringkat terutama sekolah.

Tambah beliau, ini supaya bukan sahaja ahli politik, malah rakyat juga dapat membenci rasuah seperti umat Islam yang takut untuk mendekati khinzir.

“Saya harap kita dapat terapkan dalam jiwa orang Malaysia mengenai perkara ini. Rasuah merosakkan negara. Jika kita mahu hentikan, hentikan sekarang. Jika kita mahu mulakan (perangi rasuah), mula dengan diri kita,” ujarnya.