YPBN sasar 35,000 buku diterbitkan setahun menjelang 2030.

Hasan
Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) mensasarkan penerbitan buku tanah air sebanyak 35,000 setahun menjelang 2030 seiring jumlah rakyat Malaysia dijangka akan meningkat 35 juta pada tahun itu.

Pengerusi YPBN, Dr Hasan Hamzah berkata, sasaran itu berdasarkan standard penerbitan negara maju yang disyorkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), iaitu 1,000 judul bagi sejuta penduduk.

Menurutnya, buat masa sekarang hanya lima peratus sahaja sasaran itu dapat dicapai.

"Bagaimanapun, saya percaya sasaran ini dapat dicapai dengan adanya penggemblengan usaha serta sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta serta pihak yang terbabit secara langsung dalam industri.

"Kita juga berharap pihak universiti yang terdiri daripada profesor dapat menerbitkan sebanyak 10,000 judul buku baharu manakala 20,000 daripada kumpulan cikgu dan menjadikan jumlah keseluruhan 30,000. Selebihnya disasarkan kepada pihak lain,"jelasnya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambah beliau, buku yang dimaksudkan bukan bercetak tetapi secara atas talian

"Jika tiada sasaran, jumlah yang ditetapkan oleh UNESCO tidak akan tercapai. Alangkah daifnya Malaysia,"jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, YPBN akan menganjurkan Anugerah Telenovela bagi memberi pengiktirafan kepada penulis, penerbit dan warga kerja industri kreatif yang berjaya menterjemahkan karya-karya yang bersumber dari buku ke dalam bentuk skrin.

Beliau berkata, kesemua adaptasi tersebut mesti diterbitkan pada tahun sebelum sesuatu penilaian dibuat.

"Contohnya, bagi tahun 2020 hingga 2022, karya-karya mestilah diterbitkan pada awal Januari 2019 hingga Disember 2021 dan telah ditayangkan di televisyen sama ada stesen satelit atau stesen umum (Free To Air: FTA) atau pawagam.

"Antara kategori yang dipertandingkan adalah Novel, Telenovela (Drama rantaian), Telemovie dan Filem,"ujarnya.