Usah ambil kesempatan atas mangsa pemerdagangan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

DI sebalik usaha murni pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan di luar negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) minggu lalu membuat pendedahan mengejutkan apabila terdapat segelintir pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan meminta bayaran daripada waris mangsa.

Lebih membimbangkan apabila pihak berkenaan mereka-reka cerita kononnya mangsa menerima layanan buruk sedangkan perkara tersebut tidak berlaku sekali gus dikhuatiri mengganggu usaha menyelamat oleh pihak berkuasa Malaysia dan negara terlibat.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan baru-baru ini.

Merujuk kes di Kemboja, Abd Jalil berkata, pihak berkuasa negara itu ada memaklumkan bahawa kebanyakan mangsa yang diselamatkan bukan mangsa pemerdagangan manusia tetapi perkara itu sengaja diada-adakan.

Malah, pihak berkuasa Kemboja juga kecewa dengan laporan sesetengah media dan NGO di Malaysia yang menjaja cerita tidak benar.

Ini termasuklah sengaja menakut-nakutkan keluarga mangsa dengan menyebarkan video kononnya ada individu lain telah diseksa oleh sindiket.

Walhal kejadian itu tidak berlaku dan dipercayai bertujuan mengambil kesempatan terhadap ahli keluarga.

Justeru, PDRM harus segera menyiasat pihak yang mengambil kesempatan ini apatah lagi mangsa yang terkandas ramai jumlahnya iaitu lebih 300 orang setakat 26 Januari lalu, dengan 218 orang telah diselamatkan.

Tidak dinafikan ada pihak tertentu serta NGO yang ikhlas membantu pihak berkuasa khususnya dari segi menyalurkan maklumat.

Namun, mereka diingatkan agar tidak mengambil kesempatan sehingga membebankan keluarga mangsa yang terdesak untuk membawa anak mereka pulang. Perbuatan mereka ini ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga.

Sebaliknya, salurkan maklumat terus kepada PDRM atau kementerian berwajib agar masalah ini dapat ditangani dengan lebih baik. Imej negara juga harus dipelihara di samping mematuhi undang-undang negara luar.

Pada masa sama, masyarakat juga perlu yakin dan percaya dengan pihak berkuasa dalam menyiasat kes ini kerana mereka adalah pihak yang berautoriti.