[VIDEO] ‘Malaysia Madani’ jadi perhatian antarabangsa

Salawati
Salawati
A
A
A

SHAH ALAM – Konsep ‘Malaysia Madani’ yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan wujudnya pemimpin yang akhirnya menyedari bahawa kepentingan negara mempunyai kesinambungan dengan kepentingan politik dunia dan juga hubungan antarabangsa.

Pakar Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, masyarakat luar sudah mula berdiskusi mengenai konsep kepimpinan Anwar dan mampu melihat kedudukan Malaysia selepas ini.

Menurutnya, ia memberi dampak yang sangat besar kerana sebelum ini Malaysia tidak begitu mendapat perhatian.

“Untuk hubungan antarabangsa dan undang-undang antarabangsa ini, kita lihat reaksi pemimpin negara luar... untuk kita tahu pemimpin kita diterima adalah (daripada) reaksi pemimpin luar.

“Saya lihat pemimpin-pemimpin ASEAN sangat mengalu-alukan Anwar begitu juga dengan perhatian daripada pemimpin-pemimpin antarabangsa lain.

“Saya juga lihat serangan kepada Malaysia agak kurang... sebelum ni kita sering dipetik oleh media-media luar... sejak Anwar dilantik, agak diam sedikit dan sebenarnya mereka menunggu apa yang dibawa oleh perdana menteri baharu ni,” katanya menerusi Program Wacana Sinar Siri ke-382 disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Program yang membincangkan tajuk ‘Mampukah Konsep Madani Memulih Negara’ itu turut menampilkan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE), Amidi Abdul Manan sebagai panelis, manakala Ismail Adnan sebagai hos.

Sementara itu, beliau berkata dalam hal triti antarabangsa berkaitan hak asasi manusia, kepimpinan negara perlu membuat keputusan bijak kerana perjanjian yang ditandatangani mesti dilaksanakan.

Jelas beliau, daripada tujuh teriti antarabangsa berkaitan dengan hak asasi manusia, Malaysia hanya menandatangani berkaitan hak untuk wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).

“Yang lain kita tak tandatangan. Kita dah lihat kalau kita tandatangan, kita kena melaksanakan... sebabnya laporan triti antarabangsa yang dilaksanakan perlu dihantar kepada majlis jawatankuasa setiap empat tahun.

“Adakah negara mampu untuk buat? Lebih baik jangan tandatangan jika akhirnya membawa keburukan kepada negara.

“Negara lain tak boleh mempertikaikan keengganan sesebuah negara yang berdaulat untuk tidak menandatangani mana-mana triti antarabangsa berkaitan hak asasi manusia selagi mana kita di sini mengangkat martabat manusia sejajar dengan apa yang berlaku,” katanya.