MPK, kakitangan diarah bayar RM40,000 tebang pokok mangga guru

Mohd Hazwan (tengah) bersama plaintif di Mahkamah Majistret Kemaman ketika keputusan perbicaraan kes itu pada Isnin.
Mohd Hazwan (tengah) bersama plaintif di Mahkamah Majistret Kemaman ketika keputusan perbicaraan kes itu pada Isnin.
A
A
A

KEMAMAN - Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan seorang kakitangannya diarah membayar ganti rugi sebanyak RM40,000 kepada seorang guru setelah didapati bersalah menceroboh dan menebang pokok mempelam milik wanita itu tanpa pengetahuannya, lima tahun lalu.

Bagi kes tersebut plaintif menamakan MPK sebagai defendan pertama manakala kakitangannya, Kamsiah Mohd sebagai defendan kedua.

Hukuman terhadap kedua-dua defendan diputuskan Majistret Wan Suhaila Mohd pada Isnin setelah mendapati wujud pencerobohan yang dilakukan oleh Unit Tindakan Khas (UTK), MPK yang dilakukan di kawasan rumah plaintif.

Berdasarkan fakta kes, kejadian itu didakwa berlaku pada pagi 11 Mac 2018 apabila kakitangan UTK MPK telah melakukan kerja penebangan pokok di kawasan perumahan di Kampung Mak Chili Paya, di sini ketika plaintif tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Kakitangan UTK itu didakwa menceroboh kawasan rumah dengan menggunakan ‘skylift’ dan kren milik MPK serta menebang pokok mempelam milik plaintif yang berada di dalam kawasan pagar rumah wanita itu.

Arahan penebangan pokok mempelam itu didakwa diberikan oleh Kamsiah yang juga merupakan jiran plaintif serta sebagai pegawai MPK yang bertugas di Bahagian Teknologi Maklumat (IT).

Mahkamah mendapati defendan kedua bersalah kerana memberikan arahan penebangan pokok yang salah kepada unit UTK tersebut.

Selain itu, MPK juga bertanggungjawab kerana pencerobohan dilakukan oleh unit UTK di bawah MPK dengan tiada pemantauan oleh mandur atau penyelia MPK ketika kejadian serta tidak menurut prosedur operasi standard (SOP) yang betul bagi penebangan pokok di kawasan persendirian.

Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM1,304; ganti rugi teladan RM10,000 (setiap defendan); ganti rugi teruk RM5,000 (setiap defendan); kos kepeguaman RM4,000 (setiap defendan) dan faedah lima peratus setahun atas ganti rugi.

Plaintif diwakili peguam Mohd Hazwan Hamidun daripada Tetuan Rafaei & co manakala peguam daripada Tetuan Ros Mawarti & Haslinda serta Tetuan YN Anuwar & co mewakili pihak defendan.