Pemilik syarikat mengaku tak bersalah 9 tuduhan tuntutan palsu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru pada Isnin atas sembilan pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RN246,400 kepada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.

Bagi kesemua pertuduhan berkenaan, S Anbhukanesan, 35, yang juga pemilik tiga syarikat yang membekalkan tenaga kerja didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama kesemua syarikat-syarikat berkenaan bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 dan 3.0 Perkeso.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Perkeso Johor, antara 13 Mei 2021 hingga 24 Disember 2021 lalu yang melibatkan tuntutan berjumlah RM246,400.

Tuntutan itu dibuat bagi memperdayakan pihak Perkeso biarpun mengetahui dokumen berkenaan mengandungi pernyataan palsu berhubung nama pekerja baharu di ketiga-tiga syarikat miliknya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai tuntutan palsu atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwaraya, Chan Choon Yew mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan (RM72,000 bagi kesemua pertuduhan), dengan dua penjamin selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM pada tarikh 1 hari bulan, setiap bulan.

Bagaimanapun, peguambela, Amarpreet Singh Rajwinder Singh menawarkan jaminan berkenaan dikurangkan kepada RM20,000 kerana tertuduh menanggung isteri dan dua anaknya yang masih kecil berusia dua dan satu tahun.

Selain itu, tertuduh juga menanggung bapanya yang mengalami strok dan ibunya yang menghidap sakit jantung.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan (RM45,000), dalam bentuk cagaran wang tunai dengan seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh juga perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM, Tampoi mengikut mana-mana tarikh yang sesuai setiap bulan tanpa gagal.

Tertuduh juga perlu menyerahkan kesemua dokumen seperti pasport antarabangsanya kepada mahkamah pada 26 Februari.