Heret pengusaha premis kotor ke mahkamah

Rumaizi (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari 2023 di Dewan Mesyuarat MBI pada Selasa.
Rumaizi (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari 2023 di Dewan Mesyuarat MBI pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengambil tindakan tegas termasuk mengheret ke mahkamah pengusaha premis makanan yang mengabaikan kebersihan di bandar raya ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin@Md Daud berkata, pihaknya akan menjalankan penguatkuasaan setiap hari secara rawak terutama di kawasan tumpuan pelancong bagi memastikan premis makanan sentiasa bersih.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan bagi memastikan imej bandar raya Ipoh terus dipelihara sekali gus menjadi pilihan pelancong.

"Ini kita akan buat. Kita setujulah kalau ada keperluan untuk kita bawa ke mahkamah kita akan buat. Kita tak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga, kerana ada satu kedai itu kotor kemudian tular satu Malaysia orang kata semua peniaga di Ipoh ini pengotor walhal mungkin satu peratus atau dua peratus saja, manakala 90 peratus peniaga kita okey.

"Kalau boleh strategi kita nak nasihat dulu. Kalau degil baru kita ambil tindakan tegas," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari 2023 di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini pada Selasa.

Sementara itu, Rumaizi berkata, bersempena Tahun Melawat Ipoh 2023, pihaknya akan menampilkan pelbagai produk pelancongan baharu di ibu negeri Perak ini.

Menurutnya, selain itu produk pelancongan sedia ada juga akan ditambah baik bagi memastikan ia terus mendapat kunjungan pelancong.

"Saya nak ingatkan Tahun Melawat Ipoh adalah showcase bagi tahun melawat negeri Perak tahun hadapan, jadi memanglah kita sekarang dalam proses untuk buat yang terbaik tetapi perlu ada penambahbaikan.

"Berkaitan dengan produk pelancongan, memang kita akan sentiasa mewujudkan produk-produk baharu dan pada masa yang sama kita juga akan naik taraf produk sedia ada terutama dari sudut penyelenggaraan," katanya.

Sementara itu, dalam ucapan ketika mesyuarat berkenaan, Rumaizi memaklumkan pada tahun 2022, sebanyak 429 tawaran kompaun dengan jumlah nilai RM78,300 dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017 dan undang-undang lain yang berkaitan.

Jelasnya, kebersihan dan keselamatan makanan akan terus dipantau oleh MBI bagi memastikan makanan yang di proses, dipamer, dihidangkan dan dijual kepada pelanggan dan pelancong selamat untuk dimakan.