DBKL sita barang penjaja Myanmar di Pasar Harian Selayang

Kesemua barangan disita dibawa ke stor DBKL untuk tindakan lanjut. - Foto DBKL
Kesemua barangan disita dibawa ke stor DBKL untuk tindakan lanjut. - Foto DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai empat penjaja sayur warga Myanmar dikenakan tindakan sita dan pindah barangan oleh penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Pasar Harian Selayang di sini pada Ahad.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, tindakan sita diambil bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 kerana menjaja tanpa kebenaran.

"Menerusi rondaan dan pemantauan harian, petugas penguat kuasa di Pasar Harian Selayang, empat tindakan sita dan pindah barangan telah dilakukan terhadap penjaja sayur dan buah-buahan.

"Individu terbabit merupakan warganegara Myanmar pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," menurut hantaran Facebook pada Ahad.

DBKL memberitahu, kesemua barangan yang dirampas dihantar ke Stor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, di sini untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan, sejumlah 14 tindakan penguatkuasaan dilaksanakan DBKL di premis perniagaan dijalankan warga asing sekitar kawasan Gombak dan Setapak.

Sebelum itu, sebanyak 14 premis dikendalikan warga asing di Kenanga Wholesale City, Jalan Kenanga off Jalan Gelugor, di sini diarah tutup serta-merta dalam satu operasi penguatkuasaan.