Strategi baharu komersilkan hasil penyelidikan, inovasi UMK

Universiti Malaysia Kelantan - Foto Bernama
Universiti Malaysia Kelantan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menggariskan sembilan inisiatif baharu atau Nine Strategic Innovation Initiatives (9SI2) meliputi semua bidang dalam usaha mendanai penyelidikan dan inovasi sebagai perancangan hala tuju penyelidikan dan pengkomersialan pada tahun ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Arham Abdullah berkata, sumber meningkatkan pendapatan universiti dilaksanakan melalui penubuhan sembilan Pusat Penyelidikan dan Kecemerlangan Ilmu seperti Gold Rare Earth and Material Technopreneurship Centre (GREAT), Angkasa UMK Research Academy (AURA), Innovation and Entrepreneur Incubation Centre (IEIC) dan Tropical Rainforest Research Centre (TRACE).

Menurutnya, penubuhan sembilan institusi kecemerlangan itu turut didokong dengan penubuhan 4IR Competence Centre, Ruminant Innovation and Commercialization Hub (RICH), Pusat Pemikiran Keamanan dan Kesejahteraan Insan (PEMIKIR), Jeli Food Farm Valley (JFFV) dan DAM Studio di bawah payung besar Quadruple Helix yang mengambil kira kerjasama ahli akademia, industri, kerajaan dan komuniti.

“Sumber kewangan menerusi dana kerajaan yang semakin terhad menyebabkan UMK mengambil pendekatan dengan membuka jaringan yang lebih luas dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan juga industri.

“Alhamdullilah, usaha itu mula menampakkan hasil menerusi penubuhan institut kecemerlangan itu yang berjaya memperoleh sumber dana dari pelbagai agensi, contohnya dari European Commission, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Huawei, Alibaba dan Microsoft,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Arham menambah, pendekatan inisiatif baharu yang dilaksanakan selaras dengan ucapan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada perasmian Karnival Penyelidikan di Universiti Malaya, Januari lalu menggariskan lima perkara sebagai ‘guiding principal’ dalam penyelidikan dan inovasi yang perlu diambil kira oleh institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), Profesor Julie Juliewatty Mohamed berkata, penubuhan IEIC mampu menjadi tarikan utama kepada Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) di wilayah Pantai Timur bagi menganalisis sampel makanan, herba dan mineral yang berakreditasi.

Katanya, IEIC juga mampu menyokong ekosistem penyelidikan dan inovasi, seperti kejayaan Technology Park Malaysia (TPM) di Bukit Jalil yang mana belum pernah pusat seumpama itu diwujudkan di Pantai Timur.

“IEIC juga menjadi sokongan kepada program akademik di UMK dalam menghasilkan pelajar yang berbakat dan berkemahiran manakala penubuhan RICH akan bertindak sebagai hub keusahawanan yang ditubuhkan di Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UMK.

“RICH telah ditubuhkan pada 2021 dengan objektif utamanya untuk menyokong pembangunan industri ternakan di Kelantan dengan menyediakan makanan haiwan yang berkualiti tinggi dan mencukupi serta menyediakan perundingan am mengenai nutrisi dan kesihatan ternakan kepada masyarakat setempat.

“Pelbagai kejayaan telah dicapai oleh RICH antaranya ialah projek mengeksploitasi penggunaan jerami padi yang dihasilkan melalui proses pengeluaran padi dan hanya dibakar untuk proses pelupusan.

“Insya-ALLAH, penubuhan RICH dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada UMK tetapi juga kepada masyarakat tempatan seperti pembekalan makanan berkualiti serta khidmat perundingan profesional yang ditawarkan,” katanya.