Hajiji bakal lancar parti Gagasan Rakyat

Hajiji menyempurnakan majlis perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan pelancaran Sayap Pelajar GRS, di Kota Kinabalu pada Ahad.
Hajiji menyempurnakan majlis perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan pelancaran Sayap Pelajar GRS, di Kota Kinabalu pada Ahad.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor akan melancarkan partinya yang dikenali sebagai Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dalam tempoh terdekat.

Beliau yang akan mengetuai parti itu berkata akan menggunakan Gagasan Rakyat sebagai usaha untuk meneruskan perjuangan sebuah parti tempatan yang bernaung di bawah GRS.

"Dalam masa beberapa hari akan datang (dilancarkan), namanya ialah parti Gagasan Rakyat Sabah atau nama singkatannya Gagasan Rakyat.

"Insya-ALLAH, kita akan gunakan parti itu untuk meneruskan perjuangan sebagai sebuah parti tempatan dan bernaung di bawah GRS," katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan pelancaran Sayap Pelajar GRS di sini pada Ahad.

Ditanya sama ada Gagasan Rakyat sebagai parti baharu atau sebaliknya, beliau memaklumkan bahawa ia sebuah parti sedia ada.

"Ini parti sedia ada dan kita ambil alih saja. GRS telahpun menerima keahlian parti ini pada 9 Disember lalu. GRS masih mempunyai lima parti," katanya.

Sebelum ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) antara lima parti yang berada di dalam GRS selain Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Bagaimanapun, Bersatu digugurkan daripada GRS selepas Hajiji bersama ADUN Bersatu di Sabah keluar daripada parti itu.

Sementara itu, dalam ucapannya, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah sekali lagi mengingatkan bahawa GRS merupakan sebuah parti politik yang boleh menerima seorang ahli atau individu secara keahlian langsung.

"GRS juga sebuah gabungan parti-parti politik, kenapa saya nyatakan begitu? Kerana ada sesetengah pihak menyatakan apabila saya meninggalkan Bersatu, saya tidak mempunyai parti.

"Mereka cuba memainkan ini sesuatu isu kononnya, mengikut Perlembagaan Negeri, seorang Ketua Menteri tidak boleh menjadi Ketua Menteri kerana tidak berparti. Sekarang ingin nyatakan kepada mereka di luar sana bahawa saya ialah Pengerusi GRS," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tidak timbul isu yang mempertikaikan kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah kerana turut mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.