'Longkang macam hutan'

Dari kiri, Azlan, Abd Kamal dan Jefri menunjukkan longkang dipenuhi lalang menyebabkan air tersumbat.
Dari kiri, Azlan, Abd Kamal dan Jefri menunjukkan longkang dipenuhi lalang menyebabkan air tersumbat.
A
A
A

PONTIAN - Lebih 300 penduduk enam buah lorong kediaman di Mukim Rimba Terjun di sini mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menyelesaikan masalah longkang tersumbat yang dipenuhi lalang sejak lebih 20 tahun lalu.

Enam buah lorong kediaman tersebut ialah Lorong Junid, Lorong Haji Makmum, Lorong Haji Saeman, Lorong Bugis, Lorong Brocolli dan Lorong Kangkung.

Penduduk, Abdul Kamal Suboh, 60, mendakwa sistem saliran berkenaan tidak diurus dengan baik sehingga menyebabkan air bertakung dan menjadi serius setiap kali hujan lebat.

Berikutan masalah itu, penduduk mendakwa terpaksa menghidu bau busuk hampir setiap hari disebabkan longkang tersebut.

Abdul Kamal turut bimbang kawasan berkenaan menjadi tempat pembiakan aedes kerana terdapat sampah plastik di dalam longkang tersumbat.

"Aduan sudah dibuat sebelum ini, tetapi kami bingung kerana terdapat pertindihan jabatan pelaksana.

"Kawasan di sini merupakan kawasan percukaian pihak berkuasa tempatan tetapi kami diberitahu perlu kemuka aduan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Penduduk, Azlan Johari, 51, berkata, disebabkan masalah tersebut, rumahnya digenangi air longkang sehingga paras lutut ketika hujan lebat dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Air longkang melimpah ke dalam rumah ketika hujan lebat kerana air tidak dapat keluar.

"Ia amat menyusahkan kerana perlu buat kerja pembersihan. Biarpun kejadian itu sudah lama berlaku, tetapi ia memberi kesan mendalam buat kami sekeluarga," katanya.

Bagi Jefri Samian, 51, berharap masalah saliran di kawasan ini dapat diselesaikan dengan segera bagi mengelak masalah lebih serius berlaku pada masa akan datang.

"Masalah utama dihadapi penduduk di sini ialah longkang utama yang mengalirkan air keluar tersumbat dipenuhi dengan lalang yang cukup tebal tak ubah seperti hutan.

"Oleh itu, kerja- kerja pembersihan dan pembinaan longkang baharu perlu dilakukan, tambahan pula bilangan rumah dijangka bertambah dengan pembukaan taman perumahan baharu kerana kawasan di sini dekat dengan bandar," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Pontian bagi Zon H, Rosman Tahir memberitahu, semakan perlu dibuat terlebih dahulu ke atas kawasan yang didakwa mengalami masalah perparitan sama ada terletak dalam kawasan percukaian atau sebaliknya.

Jelasnya, penduduk perlu kemukakan aduan bagi membolehkan perbincangan diadakan seterusnya penyelesaian masalah dapat dicari.

"Sebelum ini memang ada aduan dikemukakan berkaitan dengan masalah perparitan di kawasan lain dan ia dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hari sahaja.

"Kita harap dapat menyelesaikan masalah dihadapi penduduk," katanya.