[VIDEO] 'Tak perlu isytihar darurat banjir' - TPM

Ahmad Zahid (kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Politeknik Mersing, pada Sabtu.
Ahmad Zahid (kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Politeknik Mersing, pada Sabtu.
A
A
A

MERSING - Pengisytiharan darurat bencana akibat banjir yang melanda empat negeri tidak perlu dilakukan memandangkan keadaan masih terkawal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bencana banjir yang berlaku ketika ini tidak membabitkan banyak kawasan atau negeri.

"Saya fikir darurat bencana ini tidak perlu. Jawatankuasa bencana negeri sudah ambil langkah proaktif bersama jawatankuasa bencana daerah bagi menangani banjir dengan segera.

"Bantuan diberikan merupakan bantuan segera kepada ketua keluarga dan dalam waktu yang sama, kita perlu tambah baik bantuan kepada mangsa banjir terutamanya selepas pasca banjir," katanya pada sidang media selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Politeknik Mersing yang menempatkan 353 mangsa banjir, pada Sabtu.

Sebelum itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menghadiri taklimat banjir Mersing yang disampaikan Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali yang juga Pengerusi Bencana Daerah Mersing di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Mersing.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, bantuan segera sebanyak RM10.5 juta diluluskan bagi penyelesaian jangka pendek banjir di Mersing.

"Peruntukan ini bagi pembinaan tiga pam dan rumah pam yang bernilai RM3.5 juta setiap satunya.

"Sementara bagi jangka panjang pula tebatan banjir di Mersing, memerlukan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion.

"Bagaimanapun, Mersing memohon supaya peruntukan sekurang-kurangnya RM50 juta dapat disalurkan kepada kerajaan negeri dan pejabat daerah menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya dapat mengatasi isu banjir ini," katanya.