Padah enggan jual minyak peket, premis diserbu KPDN

Pemerhatian mendapati tiada minyak masak peket bersubsidi satu kilogram dijual kepada pelanggan sebaliknya hanya minyak masak botol ditawarkan. Pemeriksaan menemui 120 peket minyak masak bersubsidi satu kilogram di bahagian belakang kedai.
Pemerhatian mendapati tiada minyak masak peket bersubsidi satu kilogram dijual kepada pelanggan sebaliknya hanya minyak masak botol ditawarkan. Pemeriksaan menemui 120 peket minyak masak bersubsidi satu kilogram di bahagian belakang kedai.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebuah premis kedai diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, gara-gara tindakan peniaga yang enggan menjual minyak masak peket bersubsidi kepada pelanggan.

Pengarah Pejabat KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan dilakukan pada jam lebih kurang 11 pagi di premis terbabit di Pekan Baru pada Sabtu susulan aduan yang dikesan menerusi aplikasi TikTok apabila pelanggan meluahkan rasa tidak puas hati kerana tidak dibenarkan membeli minyak masak peket satu kilogram (kg) bersubsidi.

"Satu uji beli telah dilakukan melalui pegawai yang berpakaian preman, namun peniaga menyatakan minyak masak paket satu kg itu tiada di premis.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut pasukan pegawai penguat kuasa telah menjumpai sebanyak 120 peket minyak masak satu kg di bahagian belakang premis dipercayai disimpan dan tidak dijual. Ia disyaki disimpan untuk pelanggan tetap," katanya dalam satu kenyataan.

Affendi berkata, sebanyak 120 peket minyak masak tersebut kemudian disita untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16A(1)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana enggan menjual barang kawalan iaitu minyak masak bersubsidi sekilogram.

"Sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan kedua, didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kali kedua didenda tidak melebihi RM5 juta," ujarnya.

Beliau pada masa sama, mengingatkan bahawa KPDN serius dalam membanteras isu penyelewengan minyak masak peket sekilogram bersubsidi yang diberikan kerajaan.

"Tujuan pemberian subsidi adalah untuk mengimbangi kos sara hidup rakyat dan bukannya untuk diseleweng seterusnya menafikan hak golongan masyarakat yang sepatutnya menikmati subsidi ini.

"Dalam pada itu, orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat kepada KPDN dengan melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088/6245 di Enforcement Command Centre (ECC) atau emel ke e-aduan@kpdnhep.gov.my," katanya.