‘Berani buat, kena berani tanggung’

Gambar dari kiri: Armand Azha, Mohd Puad, Shahrir Ab Samad
Gambar dari kiri: Armand Azha, Mohd Puad, Shahrir Ab Samad
A
A
A

SHAH ALAM - Pembersihan UMNO secara besar-besaran perlu dilakukan kerana membiarkan ‘pengkhianat’ berleluasa hanya akan melemahkan parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi juga menyifatkan proses pembersihan dan menghukum ahli parti bukanlah satu perkara baharu.

Menurutnya, pengkhianat wajib dikenakan tindakan, apatah lagi mereka yang mensabotaj parti semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah sedia maklum akan risiko berhadapan dengan tindakan disiplin seperti dipecat atau digantung.

“Jika mereka berani buat, maka perlu berani tanggung. Mengekalkan mereka dalam parti hanya membesarkan kudis dalam parti. Kehadiran mereka dalam parti tanpa sebarang tindakan hanya akan melemahkan parti.

“Selain itu, jangan ada amalan antara dua darjat. Jika yang terlibat itu pemimpin atasan parti, maka mereka lebih awal yang perlu dikenakan tindakan tegas dan berat.

“Mereka yang bergelar pemimpin tidak boleh diberi muka. Memang wajar pembersihan ini dilakukan demi survival parti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang akan ada pembersihan besar-besaran terhadap mereka yang mensabotaj parti dan calon pada PRU15 lalu dan keputusan itu akan dibuat pada mesyuarat MKT malam Jumaat.

Sementara itu, seorang lagi Ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah turut sependapat dan bersetuju dengan cadangan pembersihan daripada mereka yang sabotaj parti ketika PRU15 yang lepas.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, ia perlu melalui proses yang sepatutnya iaitu dimulakan dengan siasatan Lembaga Disiplin UMNO kemudian dibawa ke MKT untuk dibincangkan daripada semua sudut politik.

“Proses ini penting agar ia tidak menjadi pertikaian mana-mana pihak dalam parti. Kita juga harus memberikan penerangan yang jelas pada akar umbi serta rakyat yang sedang melihat situasi politik terkini.

“Sabotaj parti adalah membantu pihak lawan, menghasut tidak mengundi calon dan tidak mengikut arahan parti dan sebagainya.

“Tapi bagi yang memberikan pandangan, cadangan serta kritikan, saya rasa mereka perlu diberikan tindakan amaran keras, tidak sampai ke arah penggantungan serta pemecatan.

“Parti harus dilihat tegas tapi bukan diberikan persepsi parti ‘kuku besi’ yang akan memberikan impak negatif pada parti terutama buat golongan muda. Dalam parti perlu ada semak dan imbang,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Ab Samad pula berkata, sebarang tindakan yang dilakukan parti haruslah dibuat dengan penuh bijaksana.

Jelasnya, dalam Perlembagaan UMNO sendiri, sudah jelas tentang tindakan yang perlu dihadapi bagi pemimpin dan ahli parti yang menyokong pihak lawan semasa pilihan raya.