Jumlah mangsa banjir di Johor terus menurun

Petugas di Sekolah Agama Sri Tengah 1, Kluang mengemaskini peralatan yang disediakan di PPS berkenaan yang ditutup pada Jumaat.
Petugas di Sekolah Agama Sri Tengah 1, Kluang mengemaskini peralatan yang disediakan di PPS berkenaan yang ditutup pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan penurunan apabila merekodkan seramai 3,676 mangsa daripada 1,020 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah terjejas setakat jam 2 petang Jumaat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan penurunan jumlah mangsa banjir itu turut menyaksikan enam lagi PPS ditutup setakat ini.

“Penutupan berkenaan melibatkan Dewan Kampung Baru Sungai Mas, Dewan Muafakat Taman Desaru Utama dan SK Bandar Penawar bagi daerah Kota Tinggi, Dewan SMK Sultan Abdul Jalil dan Sekolah Agama Sri Tengah bagi daerah Kluang serta Dewan Serbaguna Pekan Air Panas di daerah Segamat.

“Penutupan berkenaan menjadikan hanya 41 PPS yang masih beroperasi di tujuh daerah yang terjejas akibat banjir seperti di Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Pontian, Kluang, Batu Pahat, Muar dan Tangkak,” menurut laporan berkenaan.

Tangkak merupakan daerah terbaharu yang dilanda banjir pada Jumaat dan satu PPS telah diaktifkan di Balai Raya Kampung Durian Chondong bagi menempatkan 15 mangsa banjir daripada tiga keluarga dari Kampung Pengkalan Kota.

Sementara itu, laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan lima sungai di empat daerah mencatatkan paras bahaya melibatkan Sungai Muar di Segamat, Sungai Batu Pahat (Segamat), Sungai Muar (Bukit Kepong), Sungai Endau (Mersing) dan Sungai Endau (Kluang).

“Sungai Muar di Segamat berada pada aras 19.06 meter, Sungai Batu Pahat di Segamat (6.35 meter) Sungai Muar di Bukit Kepong (3.35 meter), Sungai Endau di Mersing (2.79 meter), dan Sungai Endau di Kluang, (15.36 meter).

“Setakat ini juga tiada amaran ribut petir dikeluarkan oleh pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), namun hujan berterusan diramalkan berlaku di Johor melibatkan daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” katanya.