Pahang, Selangor tubuh jawatankuasa teknikal

Wan Rosdy (kiri) dan Amirudin (kanan) ketika mengadakan sidang media selepas mesyuarat dua hala kerajaan Pahang dan kerajaan Selangor di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.
Wan Rosdy (kiri) dan Amirudin (kanan) ketika mengadakan sidang media selepas mesyuarat dua hala kerajaan Pahang dan kerajaan Selangor di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Satu jawatankuasa teknikal ditubuhkan antara kerajaan Pahang dan Selangor bagi meneliti serta memperincikan perkara yang berkaitan pembangunan, air dan persempadanan dua negeri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penubuhan jawatankuasa itu hasil daripada perbincangan menerusi mesyuarat dua hala yang diadakan pada Jumaat.

Menurutnya, jawatankuasa dianggotai Setiausaha Kerajaan bagi kedua-dua negeri itu akan meneliti beberapa perkara yang telah dibincangkan sebelum dikemukakan kepada mesyuarat kedua yang dijangka berlangsung sebelum Ramadan ini.

"Antaranya perkara yang dibincangkan membabitkan isu penyaluran air mentah Pahang ke Selangor, pendakian gunung di hutan simpan bersempadanan yang menyukarkan kedua-dua negeri jika berlaku perkara tidak diingini kepada pendaki.

"Turut dibincangkan adalah penguatkuasaan bersama di sempadan berkenaan lori balak yang melebih muatan serta penandaan negeri Pahang dan Selangor yang telah dimuktamadkan dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas berakhirnya mesyuarat dua hala kerajaan Pahang dan kerajaan Selangor di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut mengenai mesyuarat dua hala itu, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan Pahang dan Selangor bersetuju untuk mengadakan mesyuarat dua hala secara berkala bagi membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama.

Katanya, ini kerana sempadan Pahang dan Selangor mempunyai banyak peluang ekonomi yang boleh diteroka dan dibina secara bersama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negeri.

Wan Rosdy menambah, kedua-dua negeri juga mempunyai kelebihan tersendiri seperti di bidang industri, pelancongan serta pertanian dan ini boleh dicontohi bagi manfaat bersama.

"Walaupun tidak ada kata putus tapi ini adalah peringkat awal untuk kita merancang dan mengambil tindakan selanjutnya. Kita juga akan pastikan apa yang kita bincang pada hari ini dapat direalisasikan," katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, kedua-dua kerajaan kerajaan negeri mengambil peluang untuk bekerjasama termasuk menghubungkan anak-anak syarikat kedua negeri dalam mengupayakan keselamatan bekalan makanan dan juga keadaan jalan supaya memberi manfaat kepada rakyat.

"Kerjasama ini melibatkan beberapa perjanjian seperti perbekalan air, sempadan dan pembangunan lokaliti kawasan tinggi," katanya.

Jelas Amirudin, pembangunan lokaliti kawasan tinggi antara dua negeri itu penting untuk diseragamkan bagi tujuan keselamatan bersama.

"Kawasan (tanah) tinggi seperti Genting Highlands hendak diseragamkan atau dikoordinasikan bukan hanya dari segi pembangunan tetapi juga dari segi peraturan, undang-undang dan pemantauan.

"... ini kerana kedua-dua negeri mengalami dan berdepan dengan potensi risiko yang hampir sama dan pada masa sama, juga (Selangor dan Pahang) mempunyai potensi yang hampir sama baik," katanya.