Pas Perak sedia terima ahli UMNO yang dipecat

Fairuz Hafiizh (kiri), Zainol Fadzi (kanan)
Fairuz Hafiizh (kiri), Zainol Fadzi (kanan)
A
A
A

IPOH - Pas Perak sentiasa membuka pintu menerima sesiapa sahaja menjadi ahli parti itu termasuk bekas ahli UMNO demi penyatuan Islam dan orang Melayu.

Setiausaha Perhubungannya, Fairuz Hafiizh Othman berkata, parti itu hanya meletakkan syarat cukup umur dan beragama Islam untuk menyertai parti itu manakala bagi yang bukan Islam boleh menyertai Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).

Jelas beliau, tiada syarat lain yang dikenakan kerana Pas mengalu-alukan penyatuan dan perjuangan mendaulatkan Islam serta hak Melayu mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

"Pas merupakan sebuah parti Islam yang merupakan tempat bersatu dan berpadu orang Melayu di samping tempat berteduh bukan islam dan bukan Melayu. Pas sentiasa terbuka menerima sesiapa yang berminat menyertai Pas.

"UMNO tidak lagi menjadi tempat berteduh orang Melayu setelah secara jelas mengkhianati keputusan PAU (Perhimpunan Agung UMNO) iaitu no (tiada) DAP, no (tiada) Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Hanya Pas yang begitu konsisten dalam perjuangan Islam dan Melayu. Semua itu termaktub secara jelas dalam perlembagaan Pas," katanya kepada Sinar Harian.

Fairuz Hafiizh berkata, Pas Perak menyeru semua orang Melayu Islam bersatu di dalam Pas dan berjuang bersama Perikatan Nasional (PN) bagi mendaulatkan keadilan Islam serta bangsa Melayu di samping mewujudkan integrasi kaum yang stabil.

Dalam pada itu, Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menjelaskan pihaknya juga tiada halangan untuk menerima mana-mana pemimpin atau ahli UMNO yang dipecat menyertai parti itu.

Bagaimana pun katanya, permohonan untuk menjadi keahlian perlu dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan sebelum diluluskan.

Jelas beliau, keputusan sama ada permohanan tersebut diluluskan atau sebaliknya akan ditentukan oleh pimpinan tertinggi parti.

"Kita terima permohonan sesiapa sahaja menjadi ahli dan mereka mesti memohon mengikut Bersatu bahagian sebelum dibawa ke peringkat pimpinan tertinggi untuk diluluskan.

"Tempoh masa kelulusan juga tidak memakan masa yang lama dan permohonan juga lebih mudah kerana dibuat secara atas talian," katanya.

Pada Khamis, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa nasib individu lain selain bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan turut ditentukan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malam ini.

Jelasnya, ia merupakan sebahagian daripada langkah pembersihan besar-besaran di dalam parti itu seperti diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) yang lalu.