Duit pencen arwah suami RM233,480 lesap angkara Macau Scam

PDRM
PDRM
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru kerugian RM233,480 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang kononnya mendakwa mangsa terlibat dengan aktiviti pengedaran barang-barang terlarang dan pengubahan wang haram.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penipuan itu bermula apabila mangsa berusia 55 tahun menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pihak syarikat penghantaran barangan pada 13 Januari lalu.

Menurutnya, panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada pegawai polis dan dimaklumkan bahawa dirinya terlibat dengan jenayah.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa telah mendedahkan maklumat perbankan miliknya. Mangsa mula menyedari setelah 16 transaksi ke akaun lain telah dibuat.

"Kesemua wang simpanan dalam akaun miliknya yang merupakan ganjaran wang pencen arwah suaminya lesap," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, Ramli menasihati orang ramai supaya jangan mendedahkan butir-butir perbankan kepada pihak ketiga ataupun di dalam sebarang aplikasi daripada capaian yang mencurigakan.

"Jangan takut atau cemas apabila dihubungi atau didakwa terlibat dengan apa-apa jenayah oleh panggilan telefon yang mendakwa sebagai pihak berkuasa.

"Adalah diingatkan bahawa pihak penguat kuasa tidak menjalankan apa-apa siasatan melalui panggilan telefon. Sentiasa semak dengan balai, bank atau pejabat berkaitan yang berhampiran untuk pengesahan," pesan beliau lagi.