Mangsa banjir di Johor melonjak 5,528

Anggota APM Johor membantu mangsa banjir di Kampung Melayu Raya ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, Pontian. - Foto APM Johor
Anggota APM Johor membantu mangsa banjir di Kampung Melayu Raya ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, Pontian. - Foto APM Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus melonjak kepada 5,528 mangsa yang ditempatkan di 58 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari Khamis.

Setiausaha kerajaan negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan, mereka yang terjejas terdiri daripada sejumlah 1,536 keluarga.

Menurutnya, jumlah berkenaan meningkat sedikit dengan 5,455 mangsa yang ditempatkan di 55 PPS di seluruh Johor pada jam 8 pagi.

"Ketika ini masih tujuh daerah terjejas akibat banjir iaitu Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Muar dan Batu Pahat.

"Segamat menjadi daerah terjejas teruk akibat banjir dengan seramai 1,811 penduduk daripada 508 keluarga terjejas akibat banjir yang ditempatkan di 21 PPS dibuka di daerah berkenaan.

"Ini diikuti daerah Kluang iaitu seramai 1,266 mangsa daripada 356 keluarga; Mersing (1,173 mangsa 359 keluarga); Kota Tinggi (744 mangsa 183 keluarga); Batu Pahat (299 mangsa 79 keluarga); Muar (217 mangsa 47 keluarga) dan Pontian (18 mangsa empat keluarga)," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata demikian dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Tambah beliau, antara PPS yang dibuka di seluruh negeri ini termasuklah PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas; Dewan Pusat Banjir Jakoa; Dewan Serbaguna Pekan Air Panas; Dewan Komuniti Tasek dan Kompleks Taman Negara Endau Rompin.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia masih meletakkan dua daerah di negeri ini di bawah amaran hujan berterusan tahap bahaya iaitu Mersing dan Kota Tinggi, manakala daerah Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru dalam tahap buruk.

"Tiga sungai di negeri ini masih diletakkan dikategori bahaya iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Sungai Kahang di Kampung Contoh dan Sungai Endau.

"Dalam pada itu, empat jalan telah ditutup sementara akibat dinaiki air iaitu Jalan Jemaluang-Batu Pahat; Jalan Nitar Timur-Pengkalan Batu; Jalan Tanah Abang dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai akibat tanah runtuh," katanya.