Minyak sawit: Malaysia-Indonesia bincang strategi sekatan EU

Malaysia dan Indonesia akan membincangkan strategi terhadap keputusan EU yang mengeluarkan minyak sawit daripada penghasilan biodiesel. - Gambar hiasan
Malaysia dan Indonesia akan membincangkan strategi terhadap keputusan EU yang mengeluarkan minyak sawit daripada penghasilan biodiesel. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia dan Indonesia akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan strategi terhadap keputusan Kesatuan Eropah (EU) yang mengeluarkan minyak kelapa sawit daripada penghasilan biodiesel menjelang tahun 2030.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perbincangan dengan Indonesia akan diadakan pada minggu kedua Februari ini.

"Kita ingin tahu apakah rasional EU lakukan sehingga menyekat minyak sawit sebagai bahan biodiesel dan pada masa sama supaya kita sebagai negara pengeluar dapat memenuhi kehendak mereka," katanya menerusi sidang akhbar di Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPPK) di sini pada Khamis.

Menurutnya, sebagai langkah awal, kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan Eurocham Malaysia bagi mendapatkan pandangan.

"Semalam (Rabu) saya telah mengadakan perbincangan untuk melihat bagaimana mereka dapat memainkan peranan untuk mempengaruhi pembuat polisi di EU agar memahami kebaikan minyak sawit dari segi kesihatan dan sebagainya," katanya.

Fadillah berkata, Malaysia telah tingkatkan segala standard yang ditetapkan iaitu pematuhan alam sekitar, kesihatan dan transit.

"Kita juga tidak buka hutan baharu. Ia adalah ladang-ladang sedia ada," katanya.

Ditanya mengenai rancangan Indonesia untuk mempunyai penanda aras sendiri bagi harga minyak sawit mentah (MSM) beliau berkata, perkara tersebut turut dibincangkan dalam pertemuan itu.

"Apa pun berlaku ia perlu dibincang bersama dan apa yang dilakukan Indonesia akan memberi kesan kepada keseluruhan rantaian di peringkat dunia.

"Sebab itu, kita perlu berbincang untuk melihat bagaimana ia bukan sahaja dapat memanfaatkan pengusaha dan pekebun kecil tetapi bagaimana dunia dapat menikmati kelebihan kelapa sawit," katanya.

Terdahulu dalam ucapan Amanat Tahun Baharu KPPK, Fadillah berkata, negara berdepan dengan cabaran apabila terdapat usaha yang menyukarkan kemasukan minyak sawit ke negara masing-masing khususnya di benua Eropah.

"Bukan hanya sekadar dengan melancarkan kempen anti minyak sawit, kini EU telah menggariskan undang-undang baharu iaitu European Union Deforestation Free Regulation (EUDR) yang boleh dikatakan satu bentuk sekatan perdagangan menghalang minyak sawit dari menembusi pasaran mereka.

"Cabaran besar ini perlu kita hadapi secara proaktif dan Insya-ALLAH, saya akan bersama dengan kementerian mengatur langkah secara tersusun, teliti dan strategik bagi memperjuangkan agar hasil agrokomoditi Malaysia dapat menembusi pasaran antarabangsa secara adil dan saksama," katanya.