Ketirisan punca 'rampasan' kuota kelayakan pemilikan rumah

Program Kompas Rasuah Busters bertajuk ’Skandal hartanah tiada kesudahan’ bersama (dari kiri) Moderator, Anim Ezati Rizki, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia, Ishak Ismail dan Peguam Hartanah, Aizac Ismail yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHI
Program Kompas Rasuah Busters bertajuk ’Skandal hartanah tiada kesudahan’ bersama (dari kiri) Moderator, Anim Ezati Rizki, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia, Ishak Ismail dan Peguam Hartanah, Aizac Ismail yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHI
A
A
A

SHAH ALAM - Ketirisan dalam proses pemilikan rumah kos rendah di negeri-negeri didakwa menjadi punca berlakunya 'rampasan' kuota mereka yang lebih layak untuk memiliki hartanah tersebut.

Peguam Hartanah, Aizac Ismail berkata, dalam hal itu, setiap negeri sudah mempunyai garis panduan kelayakan bagi pemilikan rumah kos rendah namun penguatkuasaan yang agak longgar menjadi faktor berlakunya pertindihan pemilikan.

Menurutnya, seseorang individu sepatutnya tidak dibenarkan membeli rumah kos rendah di negeri lain apabila sudah mempunyai hartanah sama di mana-mana negeri.

"Sepatutnya kuota-kuota yang diberikan hadkan kepada yang layak saja. Saya rasa mungkin ada berlaku ketirisan di situ..sepatutnya yang tak layak tak boleh beli...tapi ada yang tak layak masih boleh beli, sehingga tutup kuota orang yang betul-betul mahu dan layak untuk pemilikan itu

"Kerajaan perlu memastikan supaya tidak timbul permohonan bertindih..ia perlu dipantau dan dalam masa sama perlu ada mekanisme supaya kerajaan dapat menghalang mereka yang beli rumah untuk tujuan pelaburan,"katanya ketika Program Kompas Rasuah Busters disiarkan secara langsung menerusi platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Peguam Hartanah, Aizac Ismail
Peguam Hartanah, Aizac Ismail

Program membincangkan tajuk 'Skandal Hartanah Tiada Kesudahan' itu turut menampilkan Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia, Ishak Ismail sebagai penelis manakala Amin Ezati Rizki sebagai hos.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, ilmu dalam pemilikan hartanah adalah penting mengelakkan wujudnya unsur penipuan ketika proses jual dan beli dan peguam dilantik memainkan peranan dalam hal tersebut.

"Banyak persepsi negatif yang tak betul...bila lantik peguam suka caj tinggi. Sebenarnya, kami sebagai peguam mempunyai kadar yuran yang perlu dipatuhi. Kami tak boleh caj sewenang-wenangnya ikut suka hati kami saja.

"Ada perintah saraan peguam cara yang kami perlu patuhi. Contohnya, untuk RM500,000 yang pertama, kami hanya boleh caj hanya satu peratus sahaja daripada harga jualan rumah tersebut, dan tugas peguam juga memastikan proses jual beli adalah mengikut perjanjian,"katanya.