Tiga jalan ditutup akibat banjir, tanah runtuh di Johor

Laluan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai ditutup akibat tanah runtuh. (Gambar kanan :) Keadaan tanah runtuh di laluan Sungai Tiram- Ulu Tebrau di Kulai. - Foto tular
Laluan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai ditutup akibat tanah runtuh. (Gambar kanan :) Keadaan tanah runtuh di laluan Sungai Tiram- Ulu Tebrau di Kulai. - Foto tular
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak tiga laluan utama di negeri ini membabitkan tiga daerah ditutup kepada lalu lintas akibat bencana banjir dan tanah runtuh.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Jalan Ladang Siang, Kota Tinggi ditutup susulan banjir yang berlaku dengan ketinggian paras air 0.75 meter di kawasan tersebut.

Seterusnya, Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Segamat ditutup kerana banjir dengan paras air di kawasan tersebut 0.6 meter.

Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Sekarai Segamat. - Foto Bomba
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Sekarai Segamat. - Foto Bomba

Manakala bagi laluan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai pula ditutup akibat tanah runtuh yang berlaku.

Dalam pada itu keadaan banjir di negeri ini bertambah buruk apabila bilangan mangsa banjir melibatkan lima daerah meningkat kepada 3,803 orang pada jam 10 pagi Rabu, berbanding 3,612 orang pada jam 8 pagi Selasa.

"Daerah Segamat paling terjejas dengan bilangan mangsa banjir yang direkodkan seramai 1,392 orang daripada 393 keluarga ditempatkan di 13 PPS. Diikuti Kluang seramai 1,139 orang daripada 325 keluarga ditempatkan di 11 PPS.

"Seterusnya di Kota Tinggi, jumlah terkini mangsa banjir berjumlah 557 orang daripada 136 keluarga di enam PPS manakala Mersing pula seramai 594 orang daripada 186 keluarga di empat PPS.

"Selebihnya di Batu Pahat seramai 121 orang daripada 30 keluarga di sebuah PPS," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Selain itu, tiga sungai di negeri ini telah melebihi paras bahaya iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas (19.13 meter), Sungai Segamat (37.55m) dan Sungai Kahang.