5G beri impak positif pertumbuhan ekonomi negara

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama pada pelancaran 5G Malaysia Progressing Humanity hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama pada pelancaran 5G Malaysia Progressing Humanity hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dijangka mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dengan memanfaatkan teknologi mudah alih generasi kelima (5G) dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau yakin pelaksanaan 5G mampu memberi impak kepada setiap industri penting yang menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Industri pembuatan yang menyumbang sebanyak 22 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun lalu sehingga kini masih kekal penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Melalui pelaksanaan ini kerajaan berharap ia mampu memberi nilai tambah sekali gus dapat menarik pelaburan dalam bidang-bidang teknologi tinggi, aeroangkasa, kimia dan produk kimia, mesin, peranti perubatan, elektrik dan elektronik,.

“Kira-kira 98.5 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah dalam sektor pembuatan,” katanya ketika merasmikan Pameran 5G Malaysia di Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Majlis perasmian turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa sama, beliau percaya, dengan teknologi yang lebih meluas, bidang perniagaan dalam negara akan lebih efektif seterusnya mampu memberi manfaat kepada para pekerja.

“Kerajaan komited untuk mengurangkan jurang pendapatan rakyat namun usaha itu tidak mampu dilaksanakan tanpa bantuan pihak berkaitan.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya dengan teknologi ini ia dapat memastikan perniagaan menjadi lebih efektif dan meningkatkan produktiviti serta upah bagi para pekerja,” jelasnya.

Dr Mahathir berkata, 5G turut mampu menyumbang kepada kualiti pendidikan di seluruh negara kerana ia mampu menghubungkan kawasan luar bandar.

“Dengan 5G sistem pengajaran tidak terhad di dalam ruang kelas semata-mata dan pelajar juga boleh berinteraksi melalui pelbagai medium.

“Revolusi Industri 4.0 kini menjadi lebih penting buat kita membangunkan kemahiran di kalangan rakyat terutamanya golongan muda yang bukan hanya memerlukan kemahiran yang didorong oleh data tetapi juga ketangkasan mental,” katanya. - Bernama