'Mustahil nak turunkan harga makanan'

Mohd Khairul
Mohd Khairul
A
A
A

SHAH ALAM - Peniaga-peniaga di gerai makan sekitar bandar raya ini berdepan kesulitan untuk menurunkan harga makanan susulan terpaksa menanggung kos-kos lain termasuk bekalan bahan mentah.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kebanyakan peniaga di gerai makan mengakui terpaksa menaikkan harga makanan sebanyak 40 peratus berbanding sebelum ini.

Pemilik gerai makanan, Mohd Khairul Anwar, 38, berkata, kos-kos lain seperti bayaran pekerja, bil air dan elektrik, minyak masak, sayur-sayuran, telur, ikan serta daging yang sering turun naik menjadi antara faktor menyebabkan mereka menaikkan harga makanan.

“Kalau mahu turunkan harga makanan, memang mustahil sebab harga barang-barang sekarang semua naik tinggi.

"Harga murah memang tak dapat sekarang. Contohnya ikan, harganya tidak menentu. Sekejap naik, sekejap turun.

“Begitu juga harga lada kering. Sehingga saya terpaksa pergi banyak tempat (pembekal) kerana hendak membandingkan harga untuk menjimatkan kos," katanya ketika ditemui Sinar Harian di gerainya di Seksyen 2 di sini pada Selasa.

Mohd Khairul sehubungan itu berharap kerajaan dapat menstabilkan harga bekalan bahan-bahan mentah yang ditanggung peniaga ketika ini.

“Peniaga lain menaikkan harga, kita pun terpaksa naikkan harga sebab tidak boleh berbuat apa-apa. Jangan kata untung besar, untung sedikit pun kita susah nak dapat sekarang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: