[VIDEO] Marah berpoligami bukan lesen dedah cerita di media sosial

Suzana ketika dalam program Wacana Sinar ke-380 bertajuk ‘Poligami: 2, 3 dan 4, bukan perampas’ yang diadakan di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.
Suzana ketika dalam program Wacana Sinar ke-380 bertajuk ‘Poligami: 2, 3 dan 4, bukan perampas’ yang diadakan di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Alasan marah dengan tindakan berpoligami bukan lesen untuk mendedahkan segala cerita melibatkan hubungan perkahwinan suami isteri di media sosial.

Perunding Psikologi Keluarga, Suzana Ghazali berkata, tindakan sebegitu boleh memberi kesan buruk kepada hubungan keluarga dan menjatuhkan maruah sama ada kepada suami ataupun isteri.

“Memang setiap orang ada emosinya, tetapi emosi itu kita perlu kawal dengan fikiran. Memang tidak ada wanita yang gembira bila suami kahwin lain.

“Tetapi walaupun tidak suka atau tidak nak terima (berpoligami), itu bukan satu lesen untuk kita mendedahkan, menceritakan segala benda.

“Kenapa kita marah suami kahwin lain? Kerana sayang. Tetapi kalau kita burukkan orang yang kita sayang, kena ingat kesannya kepada hubungan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam program Wacana Sinar ke-380 bertajuk ‘Poligami: 2, 3 dan 4, bukan perampas’ yang diadakan di Kompleks Karangkraf di sini pada Selasa.

Turut hadir adalah Peguam Syarie, Ahmad Jailani Abdul Ghani dan Naib Presiden Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia, Haryani Ithnen manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Ujar Suzana, masyarakat khususnya para wanita perlu mengawal emosi mereka dengan cara membanyakkan ilmu dan maklumat berkaitan poligami terlebih dahulu.

“Kena ingat kita tidak boleh ikutkan emosi semata-mata. Dalam kita melayan perasaan kita, kena pastikan kita berfikir dengan bijak, kita ada akal.

“Kita kena kawal emosi kita dengan ilmu. Sebab itu kita kena banyak belajar,” ujarnya.