'Pembinaan CIQS perlu di Tawau' - Mohd Shafie

Mohd Shafie ketika menyampaikan angpau ketika hadir pada majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina ADUN Tanjung Aru Datuk Junz Wong, di Pejabat ADUN Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie ketika menyampaikan angpau ketika hadir pada majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina ADUN Tanjung Aru Datuk Junz Wong, di Pejabat ADUN Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) bukan hanya dilaksanakan di Sarawak tetapi juga di Tawau.

Beliau berkata, perkara itu sudahpun dikenalpasti sejak awal bahawa Tawau merupakan lokasi untuk pembinaan CIQS dan agak jauh dari Sarawak.

"Saya melihat bahawa di peringkat awal, CIQS juga telah dikenal pasti di kawasan Tawau tetapi yang ini di Sarawak.

"Jadi saya berharap (bina di Tawau), kerana jarak jauhnya dari Sarawak ke Tawau. Tawau itu berhampiran dengan Utara Kalimantan dan itu telah dikenal pasti juga beberapa tahun lalu di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru Datuk Junz Wong, di Pejabat ADUN Tanjung Aru, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sarawak pada Jumaat lalu bahawa Kementerian Kewangan memberi kelulusan awal berjumlah RM1 bilion untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan CIQS di sempadan Sarawak dan Sabah.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan (Warisan) berkata, jika CIQS diwujudkan di Tawau ia dapat meningkatkan lagi hubungan erat antara dua negara berkenaan.

"Perkara ini sudahpun kita suarakan di peringkat awal ketika saya buat lawatan ke Kalimantan dulu. Kita menyatakan hubungan dengan Indonesia kerana ia berhampiran dengan ibu kota yang dikenal pasti oleh kerajaan Indonesia di Kalimantan dan saya berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin supaya hubungan erat kedua-dua negara Indonesia dan Malaysia dapat dipertingkatkan lagi.

"Memang hubungan kita baik cuma mungkin perlu dipertingkatkan lagi, bukan hanya kerjasama begitu erat tetapi kita perlu melihat dari sudut perladangan yang ada di negara kita yang memerlukan tenaga buruh dari Indonesia dan ini perlu dilihat secara serius dan diperincikan bukan hanya setakat CIQS saja itu juga membolehkan hubungan lancar dan baik," katanya.

Sebelum itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam lawatan rasminya ke Sarawak berkata, kelulusan untuk CIQS itu dibuat susulan perbincangan beliau dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo baru-baru ini berhubung perpindahan ibu kota negara itu ke Nusantara, Kalimantan, yang berkongsi sempadan dengan kedua-dua wilayah Malaysia itu.